KUALA LUMPUR: Lonjakan kes COVID-19 dalam negara ketika ini berlaku hasil daripada jangkitan dalam komuniti dan kluster-kluster tertentu termasuk di tempat kerja dan sektor pendidikan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berpandangan, kerana itu Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak menunjukkan kesan yang besar memandangkan fasa pertama masih memfokuskan kepada petugas barisan hadapan.

Jelas beliau lagi, kes positif yang direkodkan ketika ini juga kemungkinan telah terdedah sejak dua minggu lalu.

"Jadi, vaksin yang ada sekarang ini kita melindungi kumpulan yang fokus tadi (petugas barisan hadapan). Jadi buat masa ini kita tidak akan nampak signifikan ataupun pengurangan kes yang ketara kerana dua kelompok yang berbeza dan sekiranya telah mula program vaksinasi kepada kumpulan umum yang melibatkan ramai orang dalam komuniti, dan masa itu baru kita boleh lihat sama ada perbezaan yang ketara atau tidak di dalam penurunan kes.

"Sehingga itu, buat masa ini kita hendak tengok perbezaan jangkitan dalam kumpulan yang telah diberikan vaksinasi itu iaitu kumpulan frontliners sama ada satu dos atau dua dos," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zainal tidak menolak kemungkinan kes positif yang berlaku sejak pertengahan Mac lalu sehingga kini berpunca daripada pembukaan beberapa sektor seperti perniagaan yang menyebabkan berlaku interaksi yang lebih terbuka dalam kalangan masyarakat.

"Jadi setiap pihak yang bertangggungjawab seperti pihak berkuasa dan pihak-pihak yang menguruskan majlis, sekolah, atau Institut Pengajian Tinggi supaya mereka lebih meningkatkan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di tempat mereka.

"Di samping itu sebab kita tahu juga ramai orang berkata ada bazar Ramadan, dan pembukaan masjid yang besar, jadi setiap komuniti tersebut sama ada di bazar Ramadan atau di masjid mesti tingkatkan SOP dan pantau betul-betul sebab kes sekarang sudah berada di dalam komuniti," ujar beliau lagi.