LPNM perkukuh komersialisasi produk inovasi nanas di bawah RMK13

Antara produk yang dibangunkan ialah makanan ternakan daripada sisa nanas, produk kosmetik dan kesihatan dan tekstil daripada daun nanas. - Gambar hiasan
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memfokuskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada pengukuhan industri hiliran nanas melalui penyelidikan dan pembangunan (RD), inovasi baharu serta pengkomersialan produk bernilai tinggi bagi mempelbagaikan ekonomi industri itu.
Ringkasan AI
- LPNM memfokuskan RMK13 pada pengukuhan industri hiliran nanas melalui RD, inovasi, dan pengkomersialan produk bernilai tinggi untuk mempelbagaikan ekonomi industri nanas.
- Pada RMK13, LPNM mengalihkan tumpuan dari RD ke fasa pengkomersialan dan penggunaan industri secara meluas bagi meningkatkan impak kepada pengusaha nanas dan rantaian industri.
- Program pemindahan teknologi LPNM melibatkan lebih 1,000 peserta di seluruh negara, sementara pelan pengkomersialan produk termasuk kempen promosi dan Hari Inovasi akan dilaksanakan untuk memajukan industri nanas menjelang 2030.
Beliau berkata sepanjang RMK12, LPNM telah melaksanakan 17 kajian pembangunan produk hiliran nanas hasil kerjasama dengan universiti tempatan, agensi penyelidik dan pemain industri melibatkan sektor makanan dan bukan makanan.
"Sebahagian projek telah berjaya disiapkan sama ada dalam bentuk prototaip atau produk akhir dan baki projek tahun ini dijangka siap sepenuhnya antara Januari hingga Mac depan dengan 30 peratus daripada 17 projek kajian ini telah pun berada pada peringkat komersial", katanya.
Linda berkata antara produk yang dibangunkan ialah makanan ternakan daripada sisa nanas, produk kosmetik dan kesihatan, tekstil daripada daun nanas, pineapple leather, ubat gigi kanak-kanak serta semburan oral mulut, pemanis gula semula jadi berasaskan nanas serta pelbagai produk makanan dan farmaseutikal.
Turut dibangunkan adalah berkaitan teknologi mesin serta peralatan seperti mesin penghancur pokok nanas, pengeringan sisa serta mesin pengeluaran fiber.
Beliau berkata pemilihan tajuk kajian dilakukan melalui jawatankuasa penilaian dengan keutamaan kepada projek yang bersifat komersial, memenuhi keperluan pengusaha dan pengguna serta berpotensi tinggi untuk dipasarkan.
"Ini bagi memastikan kajian yang dilaksanakan memberikan impak yang signifikan kepada pengusaha nanas serta dapat diperkembang pada peringkat rantaian industri bagi menjana pendapatan yang tinggi kepada pengusaha dan mereka yang terlibat," katanya.
LPNM turut melaksanakan program pemindahan teknologi melibatkan lebih 1,000 peserta di seluruh negara sepanjang 2021 hingga 2025 yang melibatkan pembangunan produk hiliran serta memastikan hasil kajian dapat dimanfaatkan dan membuka ruang dalam perusahaan industri nanas.
"Daripada buah, daun, batang hingga ke jambul, semuanya boleh dijadikan produk bernilai tinggi. Konsep tiga kali tuaian, iaitu tuaian buah, tuaian sulur dan tuaian sisa menjana pendapatan lumayan kepada pekebun dan pengusaha nanas," katanya.
Bagi merealisasikan sasaran pengkomersialan produk pada tahun hadapan, pihaknya akan melaksanakan kempen promosi antaranya sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan di MAEPS, Serdang pada September 2026.
"Selain itu, LPNM juga bercadang melaksanakan Hari Inovasi bagi mengetengahkan produk-produk inovasi berasaskan nanas dengan penglibatan universiti-universiti tempatan. Program ini dicadang akan dilaksanakan sama ada di Johor atau Kuala Lumpur dalam jangkaan pertengahan tahun depan," katanya.
Mengulas mengenai RMK13, beliau berkata usaha turut diberikan kepada peluasan kawasan penanaman nanas di Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan nanas segar serta produk proses.
"Setakat ini terdapat kira-kira 18,600 hektar kawasan tanaman nanas di seluruh negara, termasuk di Sarawak dan Sabah.Sasaran RMK13 adalah untuk memperluas kawasan tanaman nanas kepada 30,000 hektar menjelang 2030 dengan penumpuan akan diberikan di Sarawak atas faktor ketersediaan tanah yang luas," katanya.
Linda berkata peluasan itu akan disokong dengan teknologi baharu termasuk kaedah tuaian lebih singkat bagi meningkatkan produktiviti sehektar daripada 43,000 kepada 70,000 pokok.
Beliau menambah kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM288 juta kepada LPNM bagi pelaksanaan RMK13, hampir dua kali ganda berbanding pada RMK12.
"Peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri nanas daripada penanaman, pemprosesan, inovasi sehinggalah pemasaran. RMK13 ialah fasa kritikal untuk melonjakkan industri nanas negara ke tahap lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan komersial," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


