MALAYSIA
LPNM rancang bangunkan lima pusat pemprosesan sisa nanas dalam RMK13

Mohd Khairuzamri menunjukkan antara produk yang dihasilkan daripada sisa nanas seperti daun dan batang untuk dijadikan produk bernilai tambah seperti makanan ternakan, media tanaman, pulp kertas dan bahan komposit. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) merangka pelan komprehensif bagi memperkukuh pembangunan industri sisa nanas di negara ini dengan merancang pembinaan lima Pusat Pemprosesan Sisa Nanas (PPSN) dan 50 kios pengumpulan sisa di seluruh negara.
Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, usaha itu direncana melalui sejumlah peruntukan yang dimohon menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, lima pusat PPSN itu dicadang diwujudkan mengikut zon, iaitu Pantai Timur, Selatan, Utara, Tengah dan Sarawak, bertujuan menjadikan sisa tanaman sebagai sumber pendapatan baharu kepada pekebun selain menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.
"PPSN berperanan mengumpul dan memproses sisa nanas seperti daun dan batang untuk dijadikan produk bernilai tambah seperti makanan ternakan, media tanaman, pulpa kertas dan bahan komposit," katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Nanas Malaysia 2025 di sini hari ini.Beliau berkata, projek perintis PPSN pertama telah mula dilaksanakan di Rompin, Pahang bermula tahun lepas dengan dilengkapi peralatan moden seperti mesin penuaian, penghancur (crusher), pengekstrak dan pengering serta berkapasiti memproses antara satu hingga tiga tan sisa sehari.
Beliau berkata, kios pengumpulan sisa akan diwujudkan di peringkat komuniti dan pekebun kecil bagi mengumpul dan menjual sisa nanas kepada PPSN berhampiran.
"Kios ini akan memudahkan urusan logistik dan pengumpulan sisa secara berpusat sekali gus mempercepat proses rantaian nilai industri sisa nanas," katanya.
Mohd Khairuzamri turut menjelaskan, pendekatan tuaian tiga kali yang diperkenalkan LPNM, iaitu tuaian buah, benih dan sisa dilihat mampu meningkatkan kecekapan ladang dan memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha nanas.
"Ia selaras Dasar Agro Makanan Negara melalui program pengurusan sisa sifar serta memenuhi kehendak Matlamat Pembangunan Mampan yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Menurut data LPNM, setiap ekar tanaman nanas boleh menghasilkan hingga 51 tan sisa, dan secara keseluruhan dianggarkan sebanyak dua juta tan sisa nanas dihasilkan setahun berdasarkan keluasan tanaman sedia ada sebanyak 18,664 hektar di seluruh negara.
"Kita melihat potensi besar industri ini bukan sahaja dalam aspek ekonomi, tetapi juga dari sudut kelestarian dan penggunaan sumber secara optimum.
"Dengan penjanaan pendapatan melalui konsep tiga kali tuaian serta penghasilan produk-produk yang pelbagai dan bernilai, kita menganggarkan nilai sepokok nanas adalah antara RM30-RM50," katanya.
Sambutan Hari Nanas Malaysia dengan slogan 'Nanas Kita Kebanggaan Negara' yang julung kali diadakan bermula 27 Jun hingga hari ini, bertujuan mempromosikan nanas sebagai tanaman utama negara selain menarik minat generasi muda terhadap pertanian moden.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami