[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

LPPB suarakan kebimbangan trend inflasi bahan binaan

Bernama 12/04/2025 | 20:00 MYT
Masiung berkata, kos pengangkutan dan logistik terutamanya melibatkan proses penukaran kapal kargo dari Pelabuhan Klang ke Sabah, turut menyumbang kepada peningkatan kos bahan binaan mentah. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menyuarakan kebimbangan terhadap trend inflasi melibatkan bahan binaan seperti simen, bata, baja dan kayu yang menunjukkan peningkatan ketara sejak Januari lepas.
Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata, LPPB turut bimbang kerana harga pasaran rumah di Sabah dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus pada suku kedua tahun ini, susulan pemaju terpaksa menampung kenaikan kos bahan binaan.
"Pasaran perumahan Sabah yang sememangnya tinggi dijangka terus meningkat tahun ini berikutan kenaikan harga bahan mentah, selain dipengaruhi oleh kekangan rantaian bekalan global," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Sabtu.
Masiung berkata, kos pengangkutan dan logistik terutamanya melibatkan proses penukaran kapal kargo dari Pelabuhan Klang ke Sabah, turut menyumbang kepada peningkatan kos bahan binaan mentah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerjasama antara kerajaan, pemaju, pembekal dan pembeli diwujudkan
"Sebagai contoh, subsidi kerajaan untuk bahan-bahan tertentu boleh ditingkatkan. Ini mungkin membantu menstabilkan harga bahan binaan dalam jangka masa pendek.
"Kerajaan juga boleh menetapkan harga siling bagi bahan binaan. Namun begitu, langkah ini berisiko terhadap projek perumahan dan bangunan komersial kerana pemaju mungkin terpaksa mengurangkan skop projek bagi kekal dalam had bajet," katanya.
Masiung berkata, perkara itu jika berlaku boleh menjejaskan kualiti dan keselamatan bangunan.
Terdapat tiga faktor utama yang menjadi punca peningkatan bahan binaan termasuk kekangan rantaian bekalan global dan peningkatan permintaan terhadap projek mega serta peningkatan kos buruh yang memainkan peranan kritikal, katanya.
Justeru, Masiung berharap kerajaan tidak akan mengenakan cukai baharu ke atas pemaju industri pembinaan kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan kos bangunan rumah dan komersial.
-- BERNAMA
#harga siling #Inflasi #rantaian bekalan #subsidi