Seekor harimau belang mati selepas dirempuh Hyundai Starex dalam kejadian di kilometer 321.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, insiden dipercayai berlaku ketika harimau terbabit cuba melintasi lebuh raya berkenaan sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Kamaluddin Mohamad yang mengesahkan kejadian itu berkata empat mangsa termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

harimau
Keadaan bangkai harimau yang diangkut dari lokasi kejadian. - Astro AWANI

Bangkai harimau belang berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Kamaluddin turut menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati memandu di sepanjang lebuh raya berkenaan terutamanya pada waktu malam berikutan banyak binatang liar berkeliaran dan melintas.

Kawasan tersebut juga bukan asing bagi lintasan haiwan liar seperti rusa, babi hutan dan tapir selain haiwan ternakan lain.

LPT2
Kenderaan MPV yang remuk di bahagian depan setelah melanggar harimau di LPT2. - Astro AWANI