IPOH: Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Ipoh antara rangka pembangunan kerajaan negeri dalam menyediakan hab pengangkutan yang lebih moden selain mengatasi masalah kesesakan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata sebagai permulaan, hab pengangkutan itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 60 hektar di sekitar Stesen Keretapi Ipoh di sini.

"Bagaimanapun kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 serta melancarkan Pelan Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Mohd Faidzal Hamzah.

Nolee Ashilin berkata selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi bagi meningkatkan mobiliti penduduk dan pelancong.

"Kita akan jadikan ia sebagai hab pengangkutan yang lebih efisien dan moden kerana di Ipoh ini masih banyak lagi (tempat) perlu menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam.

"Jadi perkara ini (pengangkutan awam) akan diperbaiki supaya ia dapat memberi kemudahan pengangkutan bukan sahaja kepada penduduk tetapi juga kepada pelancong yang berkunjung ke Ipoh selain dapat mengatasi masalah kesesakan pada masa akan datang dan meningkatkan tumpuan pembangunan hartanah," katanya.

Selain itu, Nolee Ashilin berkata pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan gunung dan bukit batu kapur di sekitar bandar raya Ipoh antara fokus utama dalam draf tersebut dengan ia merupakan antara 107 projek membabitkan 256 tindakan yang dirangka bagi memperkasakan bandar raya itu.

"Satu daripada perubahan yang kita buat adalah dari segi kawasan batu kapur kerana kita melihat ia perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha membangunkan bandar raya ini. Kita juga sudah membuat beberapa perubahan draf bagi menjalankan usaha konservasi di kawasan yang belum diterokai,'' katanya.

Mengenai Pelan Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh, Nolee Ashilin berkata antara cadangan yang dikenal pasti ialah memantapkan bandar raya Ipoh sebagai hab pelancongan hipster, memperkasakan Batu Gajah sebagai hab pelancongan kesihatan, mengukuhkan 'Eco Adventure Capital Of Gopeng' dan revitalisasi Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Beliau berkata pelan tindakan itu melibatkan empat pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar dan Majlis Daerah Batu Gajah.

"Pelan tindakan ini merupakan kombinasi produk pelancongan sedia ada yang perlu kita promosikan dan pada masa sama kita akan memperkenalkan produk-produk baharu yang boleh kita promosikan di bawah empat PBT secara bersekali sebagai satu destinasi utama di negara ini," katanya.

-- BERNAMA