IPOH: Cadangan mewujudkan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya ini hanya dalam peringkat perancangan menerusi Rancangan Tempatan Daerah, belum dimuktamadkan sebagai projek.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata rancangan dalam tempoh 25 tahun itu dibuat bagi memastikan pihaknya bersiap sedia untuk membangunkan bandar raya itu dengan kemudahan berkenaan.

Jelasnya lagi, tidak timbul wujud kos sebanyak RM14.5 bilion seperti yang digembar-gemburkan atau diuar-uarkan oleh pihak tertentu sebelum ini.

"Itu bukan projek, saya fikir orang tidak faham konsep, tetapi ia dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah, bermakna kita dalam perancangan untuk mengadakan konsep Transit Keretapi Metro (MRT) dan LRT dalam bandar raya Ipoh.

"Apa yang kita buat itu adalah satu bentuk perancangan dan boleh berubah dalam tempoh sehingga 2035, jadi apa kos dan model pun kita tidak tahu.

"Mungkin boleh berubah kepada teknologi baharu Autonomous Rail Rapid Transit (ART) atau Bus Rapid Transit (BRT)," katanya.

Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022, di Persiaran Bandaraya, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan media berhubung surat penduduk yang membantah dan mempersoalkan kos pembinaan LRT yang mungkin mencapai RM14.5 bilion serta dikhuatiri akan memberi beban hutang sangat besar kepada MBI.

Jelasnya lagi, perancangan melalui Rancangan Tempatan Daerah itu penting dalam menentukan kawasan sasaran serta perancangan awal.

"Contohnya, kalau kita hendak merancang membina sebuah lapangan terbang baharu kita mesti merancang dalam satu dokumen dan dokumen dalam perancangan perundangan MBI adalah Rancangan Tempatan Daerah.

"Selepas sudah ada perancangan itu, kita boleh memperuntukkan kawasan tanah dan mungkin boleh dikurangkan kos dalam beberapa aspek.

"Sekiranya ada yang mahu melabur dalam tempoh 10 tahun lagi, kita tidak membuat perancangan awal dan tiba-tiba masa itu baru nak buat, akan ada kos pengambilan semula tanah," katanya.

Mengambil contoh bandar lain seperti Sarajevo di Bosnia yang menggunakan trem, katanya penduduk di situ hanya sekitar 450,000 dan Ipoh lebih ramai dengan 720,000 penduduk.

"Kalau Sarajevo boleh hidup dengan trem kenapa kita tidak boleh, malah Sarajevo kini juga sebuah bandar pelancongan.

"Jika kita dapat siap dengan strategi, pelancong yang datang bukan sahaja domestik tetapi luar negara terutama daripada Asia Timur dan mungkin Asia Tenggara," katanya lagi.

Semalam media melaporkan, cadangan mewujudkan sistem pengangkutan LRT di Ipoh akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sekiranya projek itu dibangunkan kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai pelaksanaan projek berkenaan yang pastinya memerlukan kos tinggi.

Saarani berkata, kajian mengenai projek tersebut perlu dilakukan secara terperinci terutama daripada aspek keperluannya kepada penduduk.