KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytihar dividen pada kadar 5.0 peratus bagi tahun kewangan 2023 dengan jumlah agihan pembayaran sebanyak RM485.08 juta pada Khamis.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah ini menyaksikan peningkatan dengan agihan pendapatan sebanyak RM476.45 berbanding pada tahun sebelumnya.

Tambah beliau, tahun ini juga merupakan tahun kedua berturut LTAT mengistiharkan kadar dividen sebanyak 5 peratus.

"Dividen-dividen ini, telah dapat ditentukan kadarnya berasaskan kepada keuntungan dan juga reserve LTAT yang kukuh di sebalik yang menyatakan bahawa keadaan itu tidak terdapat dalam LTAT.

"Jadi kita percaya bahawa LTAT akan terus bergerak dengan baik dan cemerlang seperti yang telah saya katakan sebagai satu tabung pencen untuk anggota tentera yang berkhidmat dan pada masa yang sama LTAT mampu untuk memainkan peranan bagi menyertai dan memajukan ekonomi negara melalui penyertaannya dalam pelbagai bidang melalui anak- anak syarikatnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut beliau, kadar dividen LTAT telah mula pulih kepada 5 peratus pada tahun 2022 berbanding kadar yang terendah dalam sejarahnya iaitu 2 peratus pada tahun 2018.

Beliau berkata pendapatan bersih LTAT telah meningkat kepada RM537.80 juta pada tahun 2023 berbanding RM432.47 juta pada tahun 2022 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 24 peratus.

Tambah beliau, pihaknya akan memastikan LTAT akan terus memainkan peranan bukan sahaja menguruskan dana persaraan melalui aktiviti pelaburan yang mampan malah turut membantu merangsang ekonomi negara termasuk dalam sektor seperti perladangan, hartanah, farmaseutikal dan pelbagai lagi.