BAYAN LEPAS: Sekumpulan mat rempit yang didapati berlumba secara haram antara 50 buah motosikal yang ditahan dan disita oleh sepasukan polis di Jalan Pantai Seagate di sini, awal pagi Ahad.

Selain itu, dua buah kereta turut ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Superintenden Zafri Zolkapli berkata, sekumpulan mat rempit itu ditahan selepas didapati menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi tunggangan 'ala superman'.

Menurutnya, kesemua penunggang motosikal terbabit gagal meloloskan diri berikutan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar telah dikepung polis yang menjalankan operasi berkenaan.

"Kita mendapati, Jalan Pantai Seagate ini menjadi kegemaran mat rempit kerana keadaan jalannya yang lurus dan panjang. Mereka menjadikannya sebagai lokasi untuk berlumba secara haram selain mempamerkan aksi bahaya termasuk ‘ala superman’ dan ‘stunt’.

"Operasi ini dijalankan selepas kita menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung tindakan mat rempit yang sering menunggang motosikal secara berbahaya selain terganggu dengan bunyi bising," katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zafri berkata, kesemua penunggang yang ditahan dipaksa menolak motosikal masing-masing yang diiringi polis selama sejam daripada lokasi ditahan sehingga ke Balai Polis Bayan Lepas.

"Sebanyak 150 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini dan kita akan sentiasa menjalankan operasi bagi memerangi kegiatan mat rempit ini. Ia sememangnya mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Saya memberi amaran kepada semua penunggang motosikal terutamanya samseng jalanan supaya berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan orang awam dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka ditahan," jelasnya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.