Seekor lumba-lumba dipercayai dari spesis 'Bottle Nose Dolphin' ditemui mati terdampar berdekatan batu di Pantai Ban Pecah, di sini pada Isnin.

Menurut Ketua Pangkalan Jabatan Perikanan Kuala Kurau, Nazri Mohd Noh, pihaknya menerima maklumat itu dari nelayan tempatan sekitar pukul 12 tengahari.

Katanya, siasatan pihaknya mengenal pasti haiwan tersebut dari spesis 'Bottle Nose Dolphin' dan dipercayai telah mati beberapa hari berdasarkan fizikalnya semasa ditemui di lokasi tersebut.

"Empat anggota dari Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan Kuala Kurau segera ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.

"Ikan sepanjang 2.23 meter dengan anggaran berat 80 kilogram itu ditemui terdampar di atas batu di pantai itu berhampiran kawasan Tanjung Piandang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, punca kematian masih dalam siasatan.

Ujarnya lagi, bangkai ikan lumba-lumba itu kemudiannya ditanam di kawasan berhampiran.