KUCHING: Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen pada 26 Oktober.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain daripada rancangan awal pada 28 Oktober.

Beliau menjelaskan ini akan membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet mengenai perkara itu.

"Walaupun Kabinet pada dasarnya telah bersetuju dan meluluskan memorandum mengenai rang undang-undang itu, yang dibentangkan semasa mesyuarat terakhir pada Rabu (20 Oktober) terdapat beberapa ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut.

"Bagi menjawab pertanyaan mereka, Kabinet bersetuju untuk meminta AG menghadiri mesyuarat Kabinet yang akan datang pada hari Jumaat (29 Oktober) untuk menjelaskan mengenai pindaan tersebut. Apabila Kabinet telah berpuas hati dengan penerangan itu, barulah tarikh baharu untuk bacaan kali kedua rang undang-undang tersebut ditetapkan di Parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Oktober, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Wan Junaidi untuk mentakrifkan semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks MA63.

Menjelaskan mengenai cadangan pindaan itu, Wan Junaidi berkata pindaan Perkara 1(2) adalah untuk mengembalikan artikel itu kepada susunan asalnya seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan 1963.

Beliau berkata dalam pindaan ke atas negeri-negeri Persekutuan akan ditakrifkan sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu (iaitu negeri-negeri di Semenanjung Malaysia) dan negeri-negeri Borneo (iaitu Sabah dan Sarawak).

"Kami juga mencadangkan pindaan Perkara 160 (2) untuk memasukkan 'Hari Malaysia' pada 16 Sept 1963, yang merupakan tarikh pembentukan Malaysia dan menandakan berakhirnya kedaulatan Ratu England terhadap Sarawak dan Sabah (dikenali sebagai Borneo Utara) dan berakhirnya pemerintahan Inggeris atas kedua-dua wilayah itu.

"Buat masa ini, tidak ada disebut mengenai Hari Malaysia atau Hari Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Wan Junaidi berkata, cadangan pindaan lain yang diusulkan termasuk pindaan kepada definisi 'peribumi' Sarawak di bawah Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang lebih penting, pindaan Perkara 161A adalah untuk memberi status peribumi kepada zuriat bagi pasangan anak negeri yang berkahwin dengan bukan peribumi.

"Melalui pindaan ini, kuasa untuk menentukan kaum mana yang akan diiktiraf sebagai anak negeri, akan ditentukan melalui undang-undang negeri," katanya.

-- BERNAMA