JOHOR BAHRU: Seorang warga emas di Johor mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, pesara kerajaan berusia 74 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang cuba menakutkan mangsa dengan memaklumkan bahawa mangsa telah terlibat dalam satu jenayah penipuan pada Mei lalu.

"Polis Muar telah menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan yang mendakwa telah ditipu oleh sindiket Macau Scam.

“Mangsa terdahulunya menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai perkhidmatan pos yang memberitahu terdapat penghantaran atas nama mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad bank dan buku cek milik orang lain yang menyalahi undang-undang.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum mengarahkan mangsa memberikan butiran dan akses perbankan miliknya atas alasan untuk diaudit.

“Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan wang simpanannya dan bayaran tunai ke akaun yang didedahkan itu atas alasan sama,“ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pada Sabtu.

Muhammad Aidil memaklumkan, mangsa menyedari dirinya ditipu pada 18 Ogos lalu selepas membuat semakan terhadap akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM1,342,459.70 telah dipindahkan ke pihak asing tanpa pengetahuannya.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada keesokan harinya pada Sabtu (18 Ogos).

“Siasatan awal mendapati nombor telefon yang digunakan suspek untuk menghubungi mangsa pernah terkait dengan beberapa kes penipuan lain yang dilaporkan pada tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Muhammad Aidil, kejadian itu mungkin dapat dielakkan sekiranya mangsa membuat semakan terlebih dahulu melalui perkhidmatan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebelum membuat sebarang pembayaran.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh JSJK seperti CCID Scam Response Centre, CCID Infoline, SEMAK MULE dan Facebook JSJK PDRM bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan jenayah komersial.