LANGKAWI:Siasatan terhadap 29 anggota serta pegawai termasuk berpangkat deputi komisioner (DCP) berhubung sindiket Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh kini berada pada fasa akhir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan kes berkenaan sudah hampir diselesaikan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sebelum diserahkan kepada beliau untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, sebelum ini tangkapan ke atas kesemua 29 anggota dan pegawai polis itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukti yang telah dikumpulkan boleh digunakan bagi mendakwa mereka.

"Pada mulanya kita harapkan SPRM mengambil tindakan kerana serbuan dan tangkapan diambil (SPRM) ketika itu. Kita juga harapkan segala bukti yang ada pada SPRM boleh digunakan untuk SPRM mendakwa mereka, tetapi selepas itu SPRM menyerahkan kepada kita untuk tindakan lanjut.

"Hendak mengumpul bukti bukan satu perkara yang senang... nak mengumpul statement (keterangan)... (malah) statement hearsay (khabar angin) tak boleh dibawa ke mahkamah.

"(Apapun) kita beri jaminan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan tidak akan terhenti setakat itu sahaja," katanya di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu memberi amaran kepada semua anggotanya supaya tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan selain menasihatkan mereka yang pernah terbabit segera bertaubat.

"Saya tidak akan henti di situ sahaja, saya telah berikan nasihat, teguran, peluang kepada semua pegawai-pegawai saya untuk bertaubat. Hentikan, saya dah berikan cukup masa, lepas ini kita akan teruskan tindakan," katanya.

Pada 14 September lalu, Bukit Aman mendedahkan pegawai polis berpangkat DCP dan inspektor yang mempunyai simpanan berjumlah RM1 juta, antara 29 warga pasukan itu yang disiasat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, dilaporkan berkata siasatan pihaknya dalam kes berkenaan menjurus kepada anggota dan pegawai yang memiliki nilai aset luar biasa berbanding jawatan serta gaji mereka.