KUALA LUMPUR: Isu Islamofobia akan dibangkitkan oleh Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) ke sesi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berlangsung di Geneva pada 25 Januari 2024 akan datang.

Menurut Felo Senior MACSA, Prof Mohd Afandi Saleh, bagi proses Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) buat kali keempat ke atas Malaysia ini, MACSA telah menggabungkan 13 laporan individu pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Lalu akan membawa 66 syor di bawah 7 isu utama hak asasi di dalam laporan proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Antara isu yang dibangkitkan ialah hak masyarakat yang dipinggirkan (daripada pembangunan ekonomi, budaya dan sosial) yang terdiri antara lain daripada orang tidak bernegara (Stateless), pelarian (refugee) dan hak beragama bagi komuniti LGBT.

"Selain itu antara isu yang bakal dibawa termasuk keganasan domestik, eksploitasi kanak-kanak dan diskriminasi ke atas orang Islam.

"Dalam pada itu, MACSA juga akan membangkitkan isu sekatan bersuara oleh platform media seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya di dalam isu Palestin," tambahnya lagi.

Pada masa sama MASCA juga akan mengambil peluang untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang memveto usul yang dikemukakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata dilakukan di Gaza.

MACSA

Delegasi seramai lapan orang dijangka menghadiri Sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang diketuai oleh Pengerusi MACSA Lukman Sheriff Bin Alias.

Selain diikuti Pengerusi Bersama MACSA Professor Rafidah Hanim, Prof Mohd Afandi Saleh, Prof Madya Siti Zubaidah Ismail, Fatihah Iliani Jamhari, Wan Roslili Majid, Nur Farihah Meor Mazli, dan Ku Amirul Faiz Ku Seman.

"MACSA sentiasa memantau isu-isu hak asasi terutamanya yang melibatkan umat Islam termasuklah isu larangan bertudung, larangan solat Jumaat, kesukaran membina surau dan masjid khususnya di Sabah dan Sarawak serta isu pendidikan kanak-kanak tidak bernegara.

"MACSA berharap kerajaan akan mengambilkira syor-syor yang dicadangkan dalam laporan UPR MACSA bagi meningkatkan lagi tahap hak asası manusia di Malaysia," tambahnya lagi.

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan- pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.