KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta kerajaan negeri secara dasar bersetuju untuk mengekalkan pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta mewartakan TKPM yang belum diwartakan.

Menerusi mesyuarat kementerian bersama exco negeri yang dipengerusikan menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semalam, mesyuarat juga secara dasar bersetuju menyediakan peruntukan penyelenggaran TKPM, tertakluk kepada kelulusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masing-masing.

MAFI dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat itu juga bersetuju dengan penubuhan dan terma rujukan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah sebagai platform memudah cara pembangunan tanah milik persendirian secara terancang bagi tujuan pertanian.

Ia sebagai usaha bersepadu bagi mengoptimumkan tanah pertanian sedia ada dan belum dibangunkan dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan pegawai daerah dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan dianggotai pelbagai jabatan/agensi di peringkat daerah. Persetujuan yang dicapai ini menyokong hasrat kementerian untuk memperkukuh sinergi dengan kerajaan negeri bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara," menurut kementerian itu.

Mesyuarat secara hibrid di Wisma Tani, Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MAFI, exco pertanian dari 13 negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pegawai kanan serta ketua jabatan dan agensi MAFI.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan status sekuriti bekalan makanan negara yang diunjur kekal stabil dan mencukupi khususnya bagi lapan komoditi utama iaitu beras, daging ayam, daging lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah dan sayur.

Mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju keputusan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-139 berkaitan cadangan sinergi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi pengukuhan sekuriti bekalan makanan negara.

MAFI dan kerajaan negeri melalui kerjasama strategik serta kolaborasi berterusan akan memperkasa sektor agromakanan dan sekuriti bekalan makanan selaras aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

-- BERNAMA