Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan supaya format paparan keputusan pada slip peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diubah pada masa depan.

Beliau berkata di muka depan slip peperiksaan PT3 sekarang hanya memaparkan keputusan akademik manakala elemen psikometrik, kokurikulum dan sukan yang merupakan komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diletakkan di bahagian belakang.

Katanya peletakan skor tiga komponen itu di bahagian belakang slip akan menyebabkan ibu bapa tidak mengambil berat mengenainya sedangkan ia penting dalam melihat pencapaian pelajar secara menyeluruh.

"Disebabkan budaya hanya melihat keputusan berapa A dalam akademik berbanding pencapaian keseluruhan, saya menyarankan supaya keputusan penuh bagi tiga komponen lain yang dinilai turut dipaparkan di muka depan slip keputusan PT3 di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditanya langkah kementerian dalam mengubah persepsi masyarakat yang masih melihat A sebagai satu pencapaian.

Terdahulu, Mahdzir menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Pusat Data Sektor Awam (PDSA) Enstek antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Mahdzir berkata cadangan itu telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau mahu pelan komunikasi untuk memberi penerangan kepada ibu bapa diperhebatkan agar tidak hanya melihat PT3 kepada jumlah A pada pencapaian akademik semata-mata.

"Pelan komunikasi ini penting kerana kementerian mahu konsep PT3 yang diperkenalkan sejak tahun lepas ini dilihat secara holistik oleh ibu bapa, bukan hanya tertumpu kepada skor A dalam bidang akademik sahaja," katanya.

Sementara itu, nota kerjasama yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Seri Alias Ahmad akan menyaksikan pusat data KPM di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dinaik taraf menjadi PDSA.

Kerja pembangunan PDSA yang meliputi perancangan kapasiti dan penyediaan keperluan telah dimulakan sejak Ogos tahun lepas, manakala pembangunan dan penaik tarafan infrastruktur pusat data dan infrastruktur Teknolgi Maklumat dan Komunikasi (ICT) siap sepenuhnya bulan lepas.

Objektif utama kerjasama MAMPU-KPM itu adalah bagi menjadikan Pusat Data KPM di Bandar Enstek sebagai PDSA dan Pusat Pemulihan Bencana; membangunkan fasiliti 'on-premise' bagi menggantikan pusat data dan pusat pemulihan bencana 'off-premise' sedia ada di Petaling Jaya, Selangor. -- Bernama