Mahkamah benar Abu Sahid dapatkan pasport untuk ke London

Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang syarikat dan pertuduhan lain berkaitan pengubahan wang haram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed, untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara sementara bagi membolehkan beliau menghantar anak perempuannya ke universiti di London pada Januari tahun depan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen membenarkan Tan Sri Abu Sahid Mohamed mendapatkan pasport sementara untuk menghantar anaknya belajar di London pada Januari 2026.
- Timbalan Pendakwa Raya gagal mendapatkan syarat tambahan untuk melarang Abu Sahid berurusan dengan akaun bank di UK semasa perjalanan tersebut.
- Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang syarikat dan pertuduhan lain berkaitan pengubahan wang haram serta pengeluaran tunai.
Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry supaya mahkamah mengenakan syarat tambahan, iaitu melarang tertuduh daripada berurusan dengan mana-mana akaun bank miliknya di UK sepanjang tempoh perjalanan tersebut.
Terdahulu, Mohamad Fadhly berkata mahkamah boleh mengguna pakai peruntukan Seksyen 388 dan 389 Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan kuasa mahkamah dalam memberikan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Datuk Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid membantah permohonan tersebut, atas alasan pihak pendakwaan gagal mengenal pasti kewujudan akaun bank berkenaan.
"Permohonan syarat tambahan ini tanpa terlebih dahulu mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana akaun bank, di mana akaun bank tersebut, akaun bank apa, berapa banyak wang yang ada di dalamnya... saya percaya ia agak tidak adil kepada tertuduh.
"Semua akaun bank Abu Sahid di Malaysia juga telah dibekukan dan sekiranya syarat tambahan itu dikenakan ia akan menyukarkan tertuduh untuk menampung bayaran yuran pengajian anaknya di luar negara," kata peguam itu.
Abu Sahid sebagai Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat yang diamahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018.
Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


