KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport secara sementara bagi membolehkannya ke Australia untuk menghadiri mesyuarat perundangan dengan peguam kanan yang berasal dari United Kingdom.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu mulai 6 Sept hingga 12 Sept 2022 selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa terdapat sedikit pembetulan di dalam afidavit sokongan dalam permohonannya untuk mendapatkan pasport, yang sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

"Dalam afidavit hanya menyatakan saya berjumpa Peguam Kanan Geoffrey Robertson di Melbourne. Saya minta kebenaran kepada Yang Arif supaya ia diubah dengan menambah lokasi Sydney di dalam afidavit itu.

"Ini kerana Geoffrey Robertson mempunyai rumah di Melbourne, tetapi beliau beroperasi dari firma adiknya Martin di Sydney, jadi saya mungkin pergi kedua-dua tempat ini," kata Muhammad Shafee.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee pula berkata, pihaknya memohon agar pasport anak guamnya diserahkan sementara dari 6 Sept hingga 12 Sept 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah 14 Sept 2022.

Muhammad Shafee, peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept di hadapan Hakim Muhammad Jamil. - BERNAMA