Orang ramai termasuk kakitangan Mahkamah Jitra gempar pagi ini apabila dikejutkan dengan panggilan telefon yang mengatakan terdapat bom yang akan meletup dalam tempoh masa tiga minit.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu tercetus apabila seorang kerani di mahkamah tersebut menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali yang mengatakan bom akan meletup di mahkamah itu.

Tergamam dengan panggilan itu kerani mahkamah tersebut kemudiannya menghubungi pihak polis daerah Kubang Pasu.

Pasukan polis yang tiba tidak lama selepas itu bertindak mengosongkan kawasan mahkamah itu.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hampir satu jam tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan dan membahayakan orang ramai.

Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya, pihaknya sedang mengenalpasti identiti seorang lelaki dipercayai berbangsa India berdasarkan percakapan suspek dengan pengadu.

Beliau mengesahkan panggilan itu merupakan panggilan palsu dan kawasan sekitar mahkamah tersebut juga selamat dan prosiding mahkamah kembali bersidang seperti biasa selepas mendapat pengesahan daripada unit pemusnah bom.

Katanya siasatan akan diteruskan bagi mengesan perbuatan individu yang membuat panggilan tidak bertanggungjawab itu.