awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pertelingkahan berkaitan dadah, wang punca lelaki dibunuh, anggota badan dikerat
AS tegaskan perlu milik Greenland, undang reaksi antarabangsa
Tentera Syria mulakan serangan terhadap SDF di Sheikh Maqsoud, Aleppo
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Bersatu berhubung kerusi Parlimen Sabah

Bernama
Bernama
09/01/2026
09:00 MYT
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Bersatu  berhubung kerusi Parlimen Sabah
Hakim berkata kes berkenaan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable). - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong, yang dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Bersatu merayu keputusan Speaker Dewan Rakyat terhadap empat kerusi Parlimen di Sabah yang dimenangi bekas ahli parti itu.
  • Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim menegaskan kuasa perlembagaan Speaker tidak boleh diadili, menghormati doktrin pengasingan kuasa Parlimen.
  • Hakim Nallini menyatakan tiada asas untuk permohonan merayu, sementara Hakim Azizah berpendapat Perkara 49A adalah undang-undang anti-lompat parti.

Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. Hakim Nallini dan Sequerah membentuk majoriti, manakala Hakim Azizah menyampaikan penghakiman berbeza.
Menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Nallini berkata kes berkenaan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable).
"Mahkamah perlu menghormati doktrin pengasingan kuasa dan keistimewaan Parlimen, justeru tidak campur tangan dalam kuasa khusus Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali jika disalahgunakan," katanya.
Beliau berkata dalam kes Bersatu, Speaker telah melaksanakan kuasanya di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan kuasa itu bukan bersifat pentadbiran semata-mata, sambil menegaskan bahawa Speaker bukan sekadar 'rubber stamp'.
Hakim Nallini berkata turut tidak dipertikaikan bahawa tiada sebarang dakwaan niat tidak baik (mala fide), sambil menambah bahawa pendirian mahkamah berhubung kuasa Speaker untuk menentukan kekosongan luar jangka (casual vacancy) telahpun menjadi undang-undang mantap.
Beliau menegaskan tiada asas untuk membenarkan permohonan kebenaran merayu dan peluang untuk berjaya adalah tidak realistik.
"Perkara 49A ialah pindaan baharu, tetapi Mahkamah Persekutuan telah memutuskan isu berkaitan takrif kekosongan luar jangka," katanya.
Dalam penghakiman berbeza, Hakim Azizah berkata Perkara 49A merupakan undang-undang anti-lompat parti yang digubal untuk menghalang ahli Parlimen menukar sokongan politik selepas dipilih dan memastikan mereka kekal bersama parti yang diwakili ketika pilihan raya.
Beliau menambah permohonan Bersatu memenuhi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana membangkitkan persoalan baharu berkaitan tafsiran Perkara 49A yang melibatkan kepentingan umum signifikan.
Pada 17 April 2023, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, yang juga pegawai awam parti itu, memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Speaker Tan Sri Johari Abdul serta Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden.
Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Jan 2023 yang menyatakan keempat-empat Ahli Parlimen telah memberikan penjelasan dan mengesahkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Perlembagaan Bersatu.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keempat-empat ahli Parlimen telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 49A, serta perintah agar Johari mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.
Pada 16 Nov 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman, manakala rayuan mereka turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos tahun lepas, mendorong Bersatu memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Mengikut undang-undang, pihak litigasi yang ingin merayu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, Bersatu diwakili oleh peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Chetan Jethwani dan Tang Jia Yearn, manakala Peguam Persekutuan Kanan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Johari. Sementara itu, satu pasukan peguam diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili empat ahli Parlimen terbabit.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Bersatu
#lompat parti
#Sabah
#Mahkamah Persekutuan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan