PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan seorang jurutera daripada 16 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM40,000.

Keputusan itu selepas barisan tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azman Abdullah, menolak rayuan pihak pendakwaan yang mahu mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang telah membebaskan Mohd Asrul Hisyam Setapa.

Pihak Pendakwaan telah mengemukakan rayuan bagi mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini, yang telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda berjumlah RM236,000 terhadap Mohd Arul.

Hakim Hanipah ketika membacakan keputusan itu berkata terdapat keraguan berkaitan jenis beban pembuktian yang hakim Mahkah Sesyen gunakan untuk mensabitkan Mohd Asrul, 36, atas pertuduhan itu.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen juga telah gagal menyatakan bilakah anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 digunakan, terhadap Mohd Asrul.

Seksyen 50 menyatakan bahawa sesiapa yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM, telah dibuktikan bahawa apa-apa suapan yang telah diterima atau diberikan oleh atau kepada tertuduh, suapan itu hendaklah dianggap telah diterima atau diberikan secara rasuah, melainkan dibuktikan sebaliknya.

Hakim Hanipah berkata keputusan Mahkamah Sesyen untuk mensabitkan Mohd Asrul atas pertuduhan itu adalah salah dari segi undang-undang.

Pada 30 Julai 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM236,000 terhadap Mohd Asrul, selepas didapati bersalah atas pertuduhan itu.

Pada 21 Dis 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Mohd Asrul selepas membenarkan rayuannya.

Mohd Asrul didakwa menerima rasuah dalam bentuk barangan dan wang tunai berjumlah RM40,248.03 di beberapa lokasi di Kota Bahru, Kelantan antara 4 April 2016 dan 22 Ogos 2016.

Sepasukan peguam yang diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Mohd Asrul, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah.

-- BERNAMA