MALAYSIA
Mahkamah Rayuan: SPR tidak boleh halang pengundi atas alasan kuarantin COVID-19

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa tindakan SPR menghalang seorang pengundi berdaftar daripada mengundi dalam PRN Johor 2022 atas alasan kuarantin COVID-19 adalah tidak sah di sisi undang-undang. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang seorang pengundi berdaftar daripada mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 atas alasan kuarantin COVID-19 adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wong Kian Kheong bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ismail Brahim sebulat suara mendapati SPR telah melanggar hak perlembagaan R.K. Tamileswaaran, 29, untuk mengundi sebagaimana termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
"Responden pertama (SPR) telah melakukan kesilapan undang-undang atau tindakan menyalahi undang-undang apabila menafikan hak perlembagaan perayu (Tamileswaaran) untuk mengundi dalam pilihan raya berkenaan," kata Hakim Wong ketika menyampaikan keputusan.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf apabila memutuskan bahawa tanggungjawab SPR di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)."SOP dan Akta 342 tidak boleh mengatasi tanggungjawab SPR untuk melaksanakan pilihan raya," tegasnya.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan SPR serta membenarkan beberapa pengisytiharan yang dimohon Tamileswaaran.
Keputusan itu sekali gus membenarkan rayuan Tamileswaaran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Disember 2022 yang menolak semakan kehakimannya. Tiada perintah kos dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Hakim Wong berkata meskipun mahkamah mempunyai budi bicara untuk menganugerahkan pampasan terhadap pencabulan hak untuk mengundi, tiada pampasan perlembagaan diberikan dalam kes ini.
Ini kerana, katanya, keputusan SPR dibuat berdasarkan SOP atas dasar menjaga kesihatan dan keselamatan awam, dan pegawai yang terlibat bertindak dengan niat baik.
Dalam penghakimannya, beliau turut menegaskan bahawa SOP dan peraturan di bawah Akta 342 yang digubal oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Kesihatan hanyalah undang-undang subsidiari, dan bukan undang-undang persekutuan atau akta Parlimen.
Mahkamah turut menolak hujahan SPR dan Kerajaan Persekutuan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Fauziah Daud, bahawa pertimbangan dasar awam berkaitan kesihatan dan keselamatan ketika pandemik COVID-19 mencukupi untuk menolak semakan kehakiman itu.
"Hak untuk mengundi adalah hak perlembagaan, bukannya hak berdasarkan statut," kata Hakim Wong.
Dalam permohonan semakan kehakimannya, Tamileswaaran mendakwa beliau berada pada hari keenam kuarantin COVID-19 dan ujian kendiri menunjukkan keputusan negatif.
Namun, beliau dihalang memasuki pusat mengundi kerana status aplikasi MySejahtera menunjukkan kategori berisiko tinggi dan beliau tidak mendapat kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk mengundi.
Keputusan mahkamah disampaikan menerusi prosiding dalam talian.
Tamileswaaran diwakili peguam New Sin Yew dan Nur Izni Syazwani Ahmad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami