MALAYSIA
Mahkamah Singapura tangguh keputusan permohonan pasca-rayuan Pannir Selvam

Pannir Selvam Pranthaman. - Gambar fail/BERNAMA
SINGAPURA: Banduan rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati, Pannir Selvam Pranthaman, mendapat penangguhan hukuman apabila Mahkamah Rayuan (CA) Singapura menangguhkan keputusan berhubung permohonan pasca-rayuannya selepas prosiding pendengaran kedua diadakan pada Rabu.
Ringkasan AI
- Penangguhan Hukuman Mati - Pannir Selvam, banduan rakyat Malaysia di Singapura, mendapat penangguhan hukuman mati sementara Mahkamah Rayuan menilai permohonan pasca-rayuannya di bawah Akta PACC yang berkuat kuasa sejak Jun 2024.
- Isu Ketidaksaksamaan Dasar - Peguamnya berhujah bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura mengamalkan dasar tidak adil dalam penjadualan hukuman mati, berbeza antara kes kerajaan dan bukan kerajaan, melanggar hak layanan sama rata di bawah Perkara 12 Perlembagaan.
- Proses Perundangan Berterusan - Sejak dijatuhi hukuman mati pada 2017 kerana menyeludup dadah, Pannir telah mengemukakan pelbagai rayuan, petisyen pengampunan dan semakan kehakiman, dan kini masih meneruskan cabaran terhadap hukuman tersebut.
Peguamnya berhujah bahawa dasar MHA yang dikenakan terhadap anak guamnya berbeza daripada dasar terdahulu, sekali gus melanggar hak untuk mendapat layanan sama rata di bawah Perkara 12 Perlembagaan.
Mengenai perkara itu, Ketua Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai panel lima hakim berkata, Perkara 12 tidak menghalang sesebuah agensi kerajaan daripada mengubah dasar sedia ada.
"Perkara 12 diguna pakai dengan meneliti undang-undang, statut atau dasar semasa, dan tanya diri anda sama ada dasar itu dilaksanakan dengan cara yang mendiskriminasi secara tidak adil," katanya.
Peguam Pannir Selvam berhujah lagi bahawa MHA tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung perbezaan penggunaan dasar antara prosiding yang dibawa oleh kerajaan dan yang dibawa oleh pihak bukan kerajaan.
Dalam hujahan mereka, pasukan pembelaannya berhujah MHA telah mengubah pendekatannya dalam mempertahankan nyawa seorang banduan, beralih daripada mempertimbang sama ada keterangan banduan mungkin diperlukan dalam mana-mana prosiding, kepada hanya mempertimbang jika keterangan itu diperlukan dalam prosiding yang dimulakan oleh kerajaan.
"Tiada alasan diberikan oleh MHA mengapa perbezaan layanan antara prosiding kerajaan dan bukan kerajaan ini dianggap munasabah," kata peguam Ng Yuan Siang.
Sebagai respons, Timbalan Peguam Kanan Negara Terrence Chua berkata perbezaan itu wujud kerana prosiding yang dibawa oleh kerajaan dari segi takrifan, adalah untuk kepentingan awam.
"Ia melangkaui kepentingan peribadi banduan yang menunggu hukuman mati (PACP), sedangkan banduan itu tidak boleh mendakwa permohonannya mewakili kepentingan awam. Namun begitu, saya nyatakan dalam afidavit bahawa permohonan kerajaan tetap dinilai berdasarkan kes demi kes," katanya.
Mahkamah menjelaskan bahawa jika pemohon boleh menunjukkan bahawa dasar berkenaan menyebabkan kepada perbezaan tidak adil antara dua kategori individu yang tiada perbezaan yang rasional, dia mungkin boleh memperoleh satu dapatan bahawa dasar berkenaan melanggar Perkara 12.
Prosiding yang berlangsung selama lebih sejam itu berakhir dengan Ketua Hakim Menon memaklumkan bahawa Mahkamah akan menangguhkan keputusan.
Pannir Selvam yang memakai pakaian penjara berwarna ungu dilihat tenang sepanjang prosiding dalam kamar mahkamah yang padat dan turut dihadiri adik-beradiknya dari Malaysia.
Pendengaran itu merupakan perkembangan terkini dalam usaha berterusannya untuk mencabar hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya.
Pannir Selvam disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2 Mei 2017 atas kesalahan menyeludup tidak kurang daripada 51.84 gram diamorfin, dan dijatuhi hukuman mati mandatori.
Dia mengemukakan rayuan tetapi ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Feb 2018.
Bersama keluarga dan pasukan guamannya, dia turut memohon kepada Presiden Singapura supaya hukumannya diringankan, namun ditolak.
Pannir Selvam kemudian dimaklumkan bahawa hukuman matinya akan dilaksanakan pada 24 Mei 2019.
Kemudian, dia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atas alasan ingin mencabar penolakan petisyen pengampunan serta keputusan Pendakwa Raya untuk tidak mengeluarkan Sijil Bantuan Substantif (CSA).
Mahkamah membenarkan permohonan itu pada 23 Mei 2019, dan sejak itu beliau telah mengemukakan beberapa lagi permohonan semakan kehakiman.
Pada 16 Feb 2025, beliau menerima satu lagi notis pelaksanaan hukuman bagi tarikh 20 Feb, sebelum mengemukakan permohonan untuk membuat Permohonan Pasca-Rayuan dalam Kes Hukuman Mati (PACC), yang dibenarkan pada 19 Feb.
Dalam penghakimannya, Hakim Bahagian Rayuan Woo Bih Li menyatakan bahawa penangguhan diberikan sementara menunggu keputusan terhadap permohonan PACC.
Akta PACC Singapura yang berkuat kuasa pada 28 Jun 2024 membenarkan banduan menunggu hukuman mati mengemukakan permohonan pasca-rayuan yang hanya boleh didengar oleh Mahkamah Rayuan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami