MALAYSIA
[KOLUMNIS] Bahtera Bidong: Melayu Terengganu kuasai teknologi kapal sejak abad ke-16?
![[KOLUMNIS] Bahtera Bidong: Melayu Terengganu kuasai teknologi kapal sejak abad ke-16? [KOLUMNIS] Bahtera Bidong: Melayu Terengganu kuasai teknologi kapal sejak abad ke-16?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/71758662403_BahteraBidong.jpg)
Kapal ini telah diberi nama 'Bahtera Bidong' oleh kumpulan pengkaji arkeologi maritim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN). - Foto UMT
PULAU Bidong di Terengganu sering dikenang sebagai tempat penempatan pelarian Vietnam pada akhir 1970-an.
Ringkasan AI
- Bahtera Melayu Abad ke-16: Kapal karam besar ditemui di dasar laut Pulau Bidong, dipercayai dibina oleh tukang Melayu Terengganu menggunakan kayu tropika tempatan.
- Bukti Saintifik Kukuh: Kajian DNA kayu dan peluru rentaka membuktikan kapal ini bukan buatan asing, tetapi hasil teknologi maritim Melayu yang canggih.
- Ubah Naratif Sejarah: Penemuan ini mencabar dominasi naratif jong Cina dan kapal Eropah, mengangkat martabat bangsa Melayu sebagai kuasa maritim serantau.
Bagi masyarakat awam, mungkin ia hanya tinggalan sejarah maritim yang biasa.
Tetapi bagi penyelidik arkeologi, penemuan ini luar biasa kerana ia berpotensi mengubah naratif sejarah.
Kajian yang cuba merungkai bahawa kapal ini dibina oleh orang Melayu Terengganu sendiri, menggunakan kayu tropika Semenanjung Malaysia, dan belayar bersama meriam rentaka dan senapang Istinggar merentas gagah dalam jaringan perdagangan antarabangsa.
Jika penemuan awal ini benar, maka bangkai Bahtera Bidong bakal menjadi bukti saintifik berbanding Mendam Berahi Melaka bahawa orang Melayu sudah mampu membina kapal besar setanding Jong Cina, Jawa dan Galleon Portugis sejak abad ke-16.
Kajian Saintifik: Kayu Merawan dan Peluru Rentaka Membongkar Rahsia
Apa yang menjadikan Bahtera Bidong istimewa ialah pendekatan kajian yang digunakan.
Penyelidik dari UMT bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tidak hanya mengkaji seramik dan artifak lain yang ditemui, tetapi mereka meneliti sampel kayu dari struktur kapal karam tersebut.
Melalui kaedah anatomi kayu, DNA barcoding dan Ujian Pentarikhan Radio Karbon, saintis UMT berjaya mengenal pasti usia kapal yang menunjukan kapal ini telah dibina sekitar tahun 1500.
Ujian DNA juga menunjukan kapal ini dibina menggunakan dua jenis kayu utama.
Pertama, kayu Giam yang juga dikenali sebagai kayu Merawan, sejenis kayu keras, tahan lasak, digunakan untuk lunas dan rangka utama.
Kedua, kayu Meranti yang sederhana keras, sesuai untuk lantai dan papan kapal.
Kedua-dua spesis ini berasal daripada famili Dipterocarpaceae, tumbuhan dominan di hutan hujan tropika Asia Tenggara.
Yang penting, ia adalah kayu asli Semenanjung Malaysia, dan banyak ditemui di Terengganu.
Tidak ketinggalan, penemuan peluru meriam rentaka dan peluru senapang Istinggar Melayu juga dijumpai dalam bangkai Bahtera Bidong yang menguatkan lagi naratif bahawa ia adalah sebuah kapal Melayu, bukan kapal yang dibuat di tanah Jawa, Siam atau China.
Muatan Bahtera Bidong yang didominasi oleh seramik dari Si Satchanalai (Sawankhalok) dan Maenam Noi (Singburi), sememangnya dihasilkan oleh Kerajaan Ayutthaya.
Sebahagian lagi adalah pasu-pasu ceramik dari negara China. Ini menunjukkan kapal tersebut pernah berdagang di Siam dan China.

Namun, hal ini tidak semestinya bermaksud kapal itu buatan Siam atau China.
Dalam sistem perdagangan maritim abad ke-16, kapal-kapal dagang berfungsi seperti kapal kontena hari ini, membawa muatan dari pelbagai pelabuhan.
Bahtera buatan Melayu boleh singgah di Ayutthaya untuk mengambil seramik, sebelum meneruskan perjalanan balik ke Melaka.
Dengan itu, seramik Siam dan China hanya menceritakan kisah laluan perdagangan, bukan asal-usul kapal.
Struktur kapal, sebaliknya, menceritakan kisah pembinaannya.
Kehebatan Saiz dan Reka Bentuk
Hasil penyelidikan arkeologi bawah air menggunakan alatan Survey Sub Bottom Profailing menunjukkan Bahtera Bidong ini mempunyai ukuran yang besar: lebih dari 50 meter panjang, 7 meter tinggi dan 15 meter lebar.
Ini menjadikannya sebaris dengan kapal-kapal gergasi lain seperti lagenda kapal Mendam Berahi Melaka (55 meter panjang), jong China dan kapal Eropah pada abad ke 16.
Bagaimana mungkin tukang Melayu mampu membina kapal sebesar ini?
Jawapannya terletak pada kepakaran dalam memilih kayu tropika, teknik penglenturan kayu dan penggunaan pasak atau paku kayu menjadikan Bahtera Melayu gagah dan kukuh bila berada di lautan.
Teknologi ini bukan sahaja membolehkan kapal Melayu bertahan lama dalam pelayaran jarak jauh, tetapi juga menjadikan ia cukup fleksibel untuk berdagang hingga ke Thailand dan China.
Sejarawan Portugis sendiri pernah menulis bahawa bahtera Melayu lebih besar daripada galleon Sepanyol atau Portugis.
Kini, penemuan Bahtera Bidong bakal memberi bukti saintifik kepada catatan itu.
Terengganu: Limbungan Kapal Tua Nusantara
Pulau Duyong di Kuala Terengganu terkenal sejak abad ke-19 kerana menghasilkan bot tradisional terbaik di dunia.
Ramai menganggap tradisi itu bermula pada zaman moden.
Namun, Bahtera Bidong membuktikan bahawa akar tradisi limbungan ini jauh lebih tua.
Sejak abad ke-16, tukang kapal Melayu di Terengganu mungkin sudah berupaya membina kapal besar yang mampu merentasi Laut China Selatan hingga ke China.
Limbungan Terengganu ketika itu boleh dianggap sebagai “kilang maritim” Nusantara, tempat lahirnya bahtera dagang dan bahtera perang yang mendukung tamadun Melayu.
Selama ini, sejarah maritim Asia banyak memberi tumpuan kepada jong Cina dan kapal Eropah.
Kapal Melayu hanya disebut secara sambil lalu. Tetapi penemuan Bahtera Bidong menuntut kita menukar naratif itu.
Bahtera Bidong membuktikan bahawa orang Melayu bukan sekadar pengguna laluan perdagangan, tetapi pencipta kapal besar.
Mereka menguasai teknologi tinggi berasaskan kayu tropika dan memahami kejuruteraan maritim setanding kuasa besar dunia.
Selain itu, bangsa Melayu mempunyai tradisi limbungan kapal yang kukuh sejak berabad-abad lamanya.
Naratif lama yang menempatkan orang Melayu hanya sebagai “pedagang kecil” atau “pengikut kuasa asing” perlu ditolak.
Bahtera Bidong menunjukkan bangsa ini pernah berdiri sebagai kuasa maritim serantau yang inovatif dan berteknologi tinggi.
Apa yang menjadikan penemuan ini lebih menarik ialah kesedaran bahawa laut adalah arkib terbuka.
Dasar laut kita masih menyimpan banyak kapal karam yang belum diterokai.
Bahtera Bidong hanyalah satu daripadanya, tetapi ia sudah cukup untuk membuktikan bahawa kita perlu menulis semula sejarah maritim dari sudut pandang kita sendiri.

Laut bukan sahaja laluan perdagangan, tetapi juga tempat yang menyimpan bukti bahawa bangsa Melayu adalah penunggang monsun dan jurutera bahtera hebat setanding dengan bangsa Eropah atau China.
Kesimpulan: Bahtera yang Mengangkat Martabat Bangsa
Bahtera Bidong bukan sekadar tinggalan kapal karam. Ia adalah simbol bahawa orang Melayu telah menguasai sains kayu, teknologi pembinaan kapal, dan kejuruteraan maritim sejak abad ke 15 atau 16 lagi.
Dengan ukuran panjang lebih dari 50 meter, dibina daripada kayu tropika Semenanjung Tanah Melayu, dan belayar membawa muatan dari Siam dan China, Bahtera Bidong menceritakan kisah sebuah bangsa yang berdiri megah di tengah samudera.
Sudah tiba masanya kita menukar naratif sejarah: orang Melayu bukan sekadar pelaut biasa, tetapi pembina bahtera hebat yang menjadi nadi perdagangan Nusantara.
Selain itu, pememuan Bahtera Bidong mungkin bakal menjadi bukti bahawa Terengganu adalah pusat teknologi maritim dunia sejak lima abad lalu.
Bukti bahawa bangsa Melayu pernah menguasai laut dengan teknologi dan mempunyai kepakaran atau kearifan tempatan sendiri.
* Dr. Mohd Afandi Salleh adalah penyelam bersama pasukan Penyelidik Bahtera Bidong, Penasihat Persatuan Seni Purba Terengganu dan Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami