GURUN: Pendakwaan terhadap seorang lelaki warga Nepal di Mahkamah Majistret Gurun atas kesalahan cubaan menculik kanak-kanak terpaksa ditangguhkan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Majistret Anis Suraya Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh, Rajaram Sahani, 36 mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan sama ada dalam Bahasa Melayu mahupun Inggeris.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Disember depan sebagai sebutan semula bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Nepal.

Mengikut pertuduhan, Rajaram didakwa melakukan cubaan culik terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun daripada jagaan bapanya yang sah di sisi undang-undang.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 7.20 pagi di kawasan tepi jalan berhadapan Kedai Makan Roti Canai Pak Syed di pekan Jeniang 26 November lalu.

Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga Nepal cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang, namun gagal apabila dia ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, anggota Pondok Polis Jeniang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa mangsa berumur 31 tahun mahu membayar dan mengambil tempahan roti canai sementara anaknya ditinggalkan di atas motosikal yang berjarak kira-kira enam meter dari kedai itu. -Sinar Harian