awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Kim Jong Un pantau ujian peluru berpandu altitud tinggi
Pemimpin pembangkang Bangladesh, Tarique Rahman kembali ke tanah air selepas 17 tahun dalam buangan
Parlimen Algeria isytihar penjajahan Perancis sebagai jenayah, tuntut permohonan maaf dan pampasan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Mahkamah Thailand perintah ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki diekstradisi ke China

Bernama
Bernama
18/01/2023
13:49 MYT
Mahkamah Thailand perintah ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki diekstradisi ke China
Mahkamah berkata Teow, yang juga dikenali sebagai Tedy Teow, pengasas Kumpulan MBI, boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari. - Gambar fail/ Sinar Harian
BANGKOK: Mahkamah Thailand hari ini memerintahkan ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki Teow Wooi Huat diekstradisi ke China, untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan walaupun Malaysia turut memfailkan permintaan ekstradisi.
Mahkamah berkata Teow, yang juga dikenali sebagai Tedy Teow, pengasas Kumpulan MBI, boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari.
Keputusan itu disampaikan melalui pendengaran maya hari ini.
Teow, yang memakai pakaian seragam penjara berwarna coklat dan berpelitup muka, mendengar keputusan itu dari Penjara Reman Bangkok diiringi pegawai penjara.
Dia yang kelihatan tenang sepanjang perbicaraan bertanya "bolehkan saya merayu?" selepas hakim membaca keputusan.
Terdahulu, mahkamah berkata pihak berkuasa China memfailkan permintaan untuk mengekstradisi Teow ke China untuk menghadapi pertuduhan penipuan dan skim pelaburan yang meragukan.
Mahkamah juga menyatakan Teow juga berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.
"Dia (Teow) terlibat dalam penipuan melalui syarikatnya yang beroperasi di Malaysia dan Thailand. Dia akan diekstradisi ke China," kata mahkamah.
Sementara itu, peguam Teow, Juti Suanraksa berkata Teow akan memfailkan rayuan terhadap perintah ekstradisinya ke China.
Selain itu, beliau berkata pasukan peguamnya sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan kepada mahkamah bersabit permintaan ekstradisi Malaysia.
"Kami mengemukakan dokumen tambahan seperti yang diminta.
"Mahkamah dijangka mendengar kes permintaan ekstradisi Malaysia tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.
Teow ditahan pada 21 Julai tahun lepas dan dimaklumkan bahawa dia dikehendaki oleh pihak berkuasa di China kerana menipu pelabur menerusi skim pelaburannya yang meragukan.
Dia dikehendaki oleh Malaysia dan China, dengan China lebih dahulu memohon ekstradisi.
Teow berada dalam tahanan Polis Imigresen Thailand selama lebih 180 hari selepas visanya dibatalkan pada 21 Julai lepas.
Sejak itu, dia menunggu pengusiran oleh pihak berkuasa Thailand.
Polis Beijing juga dilaporkan mahu menyoal siasatnya berikutan saman yang difailkan oleh kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.
Pada 25 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata ia dalam proses memohon Teow diekstradisi ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Tedy Teow
#ahli perniagaan dikehendaki
#chinna
#Thailand
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan