KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Datuk Abdul Latif Abdul Rahim daripada dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez menerima rasuah membabitkan projek pembinaan lebuh raya serta menaik taraf jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan Abdul Latif, 64, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas tanpa membebaskan beliau daripada kedua-dua pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata alasan yang diberikan oleh pendakwaan terhadap isu mengapa pemohon (Abdul Latif) tidak boleh dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan tidak mempunyai merit.

"Trend kes menunjukkan bahawa jika tiada alasan kukuh, perintah yang harus diberikan ialah pelepasan yang terjumlah kepada pembebasan," katanya.

Beliau berkata pendakwaan memberi dua alasan mengapa pemohon tidak boleh dibebaskan iaitu beliau akan menjadi saksi yang memberi keterangan terhadap Abdul Azeez dan jika terdapat sebarang perkembangan dalam bukti yang dikemukakan, kes terhadap Abdul Latif akan diteruskan.

Bagaimanapun, Sequerah berkata alasan pemohon akan menjadi saksi yang memberi keterangan terhadap adiknya menimbulkan kemungkinan bahawa beliau terpaksa memberi keterangan yang memihak kepada pendakwaan.

"Ini tidak terjumlah kepada alasan yang mewajarkan pemberian perintah agar pemohon dilepas tanpa dibebaskan. Terdapat kemungkinan bahawa keterangan beliau dalam keadaan ini akan dicabar yang pada akhirnya menyebabkan ia dianggap sebagai sudah tercemar," katanya.

Menyentuh alasan kedua, beliau berkata ia juga tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang mewajarkan pemberian perintah dilepas tanpa dibebaskan.

"Tiada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa pendakwaan akan meneruskan kes ini dan menyebabkan ketidakpastian terhadap masa depan pemohon. Justeru, semakan ini dibenarkan dan perintah Hakim Mahkamah Sesyen diketepikan," katanya.

Abdul Azeez, 55, yang juga Ahli Parlimen Baling, berdepan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa menerima rasuah di CIMB Bank, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017 serta 10 April 2018 manakala kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Latif pula didakwa bersubahat dengan adiknya untuk memperoleh rasuah sebanyak RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai ganjaran membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) bernilai RM644,480,000.

Abdul Latif didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pada prosiding hari ini, Abdul Latif diwakili peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab Razak.

-- BERNAMA