NATIONAL
Mahkamah Tinggi benar tangguh notis pengosongan premis penduduk Kampung Sungai Baru

Azura (dua, kiri) berkata, mahkamah memutuskan notis arahan pengosongan ditangguhkan sehingga satu rayuan yang difailkan oleh pihak penduduk dapat dilupus, dan dibicarakan terlebih dahulu.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan penangguhan sementara notis pengosongan premis membabitkan tiga penduduk di Kampung Sungai Baru, yang sepatutnya berkuat kuasa esok.
Penolong Kanan Pendaftar, Ahmad Asyraf Mohamed Kamal memutuskan demikian selepas membenarkan pemohonan peguam bela, Azura Mokhtar yang mewakili penduduk terbabit.
Azura berkata, mahkamah memutuskan notis arahan pengosongan ditangguhkan sehingga satu rayuan yang difailkan oleh pihak penduduk dapat dilupus, dan dibicarakan terlebih dahulu sebelum tindakan pengosongan premis dilakukan oleh pihak pemaju.
"Pihak peguam akan memfailkan avidavit balasan kami dan satu bicara bagi permohonan kami akan dibicarakan secara keseluruhan pada 22 April ini."Permohonan hari ini hanya melibatkan seramai tiga orang defenden. (Secara keseluruhan terdapat) empat blok flat strata melibatkan seramai 108 orang (pemilik unit).
"Baki penduduk yang tidak membuat permohonan... saya difahamkan ada beberapa kategori iaitu ada yang telah berpindah dan ada yang tidak membuat apa-apa tindakan," katanya dalam sidang media selepas prosiding di sini, hari ini.
Azura berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 27 Januari 2025.
Sebelum ini, media melaporkan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami