Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk mencabar dari segi perlembagaan pertuduhan dihadapinya dibawah Seksyen 41( A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 71 Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Keputusan dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan pihak responden dan pendakwaan.

Hakim juga bersetuju dengan pihak pendakwaan dan mendapati permohonan pihak pembelaan yang diwakili peguam Hisham Teh Po Teck itu pra-matang.

Justeru Mahkamah mengarahkan prosiding perbicaraan terhadap Presiden UMNO itu diteruskan hari ini.

“Cabaran pada ketika ini adalah pra-matang di mana ia secara hipotesis menganggap kebolehterimaan dokumen yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan.

“Dokumen pertikaian akan ditandakan untuk pengenalpastian dimana pada akhir kes pendakwaan saya akan memerintah kebolehterimaan dokumen tersebut,” ujar Hakim Collin Lawrence.


Terdahulu peguam bela Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal mempertikaikan peruntukan dalam Akta SPRM 2009 dan AMLA 2001 berkenaan kebolehterimaan dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Bagaimanapun Hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati permohonan hujah pihak pembelaan bawah pertuduhan dibawah kedua dua seksyen terbabit melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai pra-matang kerana perbicaraan belum bermula dan hanya andaian awal.

Prosiding dimulakan dengan penyataan pembukaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran sebelum 20 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan kes.

Ahmad Zahid, 66, sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.