KUANTAN: Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menolak permohonan aktivis haiwan T. Puspa Rani untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) berhubung projek tangkapan anjing liar di daerah tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Noor membuat keputusan itu pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian dan peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Puspa Rani memaklumkan keputusan tersebut semasa dihubungi hari ini.

"Mahkamah menolak permohonan itu atas alasan pemohon tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut. Kami telah memperoleh arahan anak guam untuk mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini," katanya.

Puspa Rani, 45, memfailkan permohonan itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 25 April lalu dengan menamakan pihak berkuasa tempatan di kawasan pertanian tanah tinggi itu sebagai responden.

Permohonan itu difailkan bagi mendapatkan perintah membatalkan dengan serta-merta keputusan MDCH bertarikh 27 Jan 2021 untuk melancarkan projek menangkap anjing liar dalam kawasan pentadbirannya yang didakwa pemohon melibatkan bayaran bagi seekor haiwan yang ditangkap.

Pemohon yang merupakan bekas akauntan mendakwa projek tersebut bertentangan dengan undang-undang dan merupakan penyalahgunaan kuasa oleh responden, selain didakwa mengabaikan hak asasi haiwan serta menyebabkan bahaya terhadap keselamatan haiwan berkenaan.

Pemohon antara lain turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk responden melepaskan haiwan yang ditangkap kepada persatuan perlindungan haiwan selain MDCH membayar ganti rugi terhadap kecederaan dialami haiwan berkenaan bagi tujuan pemulihan dan perubatan.

-- BERNAMA