KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Aman Palestin Berhad (Aman Pelestin) untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung pembekuan 11 akaun banknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) November lepas.

Hakim Datuk Amarjeet Singh dalam keputusannya berkata perkara itu tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman kerana kuasa bagi mengeluarkan perintah pembekuan adalah sebahagian daripada proses siasatan jenayah.

"Ia telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi, dan mahkamah ini terikat dengan keputusan itu, bahawa kuasa berhubung proses penyiasatan jenayah tidak boleh dirujuk untuk semakan kehakiman.

"Kes itu ialah Empayar Canggih dan Latifah Bibi Koya. Mahkamah ini juga bersetuju dengan keputusan dalam kes Mahkamah Tinggi Simplex Sdn Bhd dan Khor Peng Chai," katanya dalam keputusan yang disampaikan melalui e-mel.

Peguam kanan persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly dan Nur Irmawatie Daud mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Aman Palestin Berhad.

Pada 27 Feb, AGC membantah permohonan Aman Palestin Berhad kerana perintah untuk membekukan akaun bank Aman Palestin tidak boleh dicabar oleh semakan kehakiman memandangkan SPRM mempunyai kuasa budi bicara dalam menjalankan suatu siasatan jenayah.

Aman Palestin memfailkan permohonan pada 31 Jan bagi mengetepikan keputusan SPRM untuk membekukan 11 akaun bank mereka.

Perintah pembekuan itu dibuat di bawah Seksyen 44(1) AMLA pada 24 Nov 2023.

Pertubuhan bukan keranaan (NGO) itu juga meminta perintah mandamus agar SPRM mengubah perintah pembekuan untuk sejumlah RM11,026,215.60, tidak lagi dibekukan serta-merta untuk perbelanjaan harian, gaji kakitangan, pentadbiran dan kos operasi untuk tiga bulan akan datang.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa perayu masih boleh mengumpul dana daripada orang ramai dan terus menyalurkannya kepada mangsa perang di Gaza.

Selain SPRM enam responden lain yang dinamakan ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, pengarah kanan bahagian siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim, pengarah bahagian anti-pengubahan wang haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai SPRM Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff, dan kerajaan.

Pada 15 Feb lepas pengerusi eksekutif Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan ketua pegawai eksekutifnya adalah antara tiga individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 164 pertuduhan pecah amanah jenayah, menipu dan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh juta ringgit dalam dana syarikat.

-- BERNAMA