Peguam Kamal Hisham Ja'afar, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965, hari ini gagal dalam rayuannya untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Johor Baharu untuk membatalkan ikat jamin terhadapnya dan sebulat suara menolak rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Turut bersidang dengan Md Raus ialah Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Zamani A. Rahim.

Dalam keputusannya, Hakim Md Raus berkata mahkamah bersetuju dengan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan ikat jamin tidak boleh dirayu di Mahkamah Rayuan kerana perintah itu bukan keputusan muktamad.

Beliau berkata berdasarkan merit dan fakta kes, mahkamah berpendapat hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicaranya dengan betul untuk membatalkan ikat jamin, oleh itu, tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu budi bicara hakim itu.

Kamal Hisham, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru pada September tahun lepas atas empat pertuduhan pecah amanah dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat.

Beliau dibenarkan ikat jamin berjumlah RM700,000 dengan dua penjamin dan mahkamah mengarahkan dia menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis sekali seminggu.

Semasa menyemak semula perintah Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi Johor Baharu membatalkan ikat jamin itu dan mengarahkan Kamal Hisham ditahan di pusat tahanan Ayer Molek sehingga perbicaraan selesai.

Pada perbicaraan mendengar rayuannya hari ini, peguam Datuk Yusof Zainal Abiden yang mewakili Kamal Hisham berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila meminta semakan bagi kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud berhujah bahawa perintah Mahkamah Sesyen tidak boleh dirayu kerana ia bukan perintah muktamad.

Beliau juga berkata Kamal Hisham, dalam afidavitnya, mengaku bahawa beliau tidak berada di dalam Malaysia kerana berasa tidak selamat, yang menunjukkan beliau berfikir mengenai kemungkinan melarikan diri.