Mahkamah tolak saman pesara tentera berhubung pelarasan pencen

Hakim memutuskan bahawa pelarasan pencen plaintif telah dilakukan mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Pencen 1982. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman pemula yang difailkan oleh seorang pesara tentera terhadap kerajaan dan dua lagi berhubung pelarasan pencen bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan bahawa pelarasan pencen plaintif iaitu Rafique Ali Ahmad Nordin telah dilakukan mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Pencen 1982 dan oleh itu, tiada kekurangan dalam jumlah pencen yang diterimanya.
Rafique Ali memfailkan saman itu mewakili 3,210 bekas anggota tentera lain pada 11 April lepas dan menamakan Majlis Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan serta kerajaan sebagai defendan memohon supaya defendan membayar atau melakukan pelarasan pencen mereka mengikut Peraturan-Peraturan Pencen 1982.
Dalam penghakiman beliau, Raja Ahmad Mohzanuddin berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah plaintif bahawa pencen yang dibayar kepada beliau dan 3210 lagi harus diselaras setiap kali skala gaji baharu dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia."Undang-undang dalam hal ini adalah jelas iaitu prasyarat bagi semakan gaji telah dinyatakan dalam definisi 'skala gaji semasa' di bawah Peraturan 51 Peraturan-Peraturan Pencen 1982, bahawa ia merujuk kepada skala gaji terkini yang berkuat kuasa ketika berlaku semakan gaji oleh kerajaan," katanya.
Beliau bersetuju dengan hujah defendan bahawa Jadual Gaji Baru (JGB) Sistem Saraan Malaysia (SSM) 2004, JGB SSM 2013 dan JGB SSM 2016 yang dirujuk oleh plaintif bukanlah dikeluarkan oleh kerajaan susulan semakan gaji sebaliknya hasil pindaan kepada syarat perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia, yang tidak memberi kesan kepada pesara yang bersara sebelum pindaan itu berkuat kuasa.
"Peraturan ini hanya terpakai kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia yang masih berkhidmat dan bersetuju menerima perubahan lantikan yang akan mengikat mereka dengan syarat perkhidmatan baharu.
"Oleh yang demikian, saya terpaksa menolak saman pemula ini," katanya.
Hakim itu juga berkata meskipun saman kesemua pesara gagal, beliau percaya tindakan mereka dalam memperjuangkan hak masing-masing bukanlah sesuatu yang remeh.
"Justeru itu, atas faktor ini dan sebagai menghargai sumbangan mereka kepada negara, saya tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos," katanya.
Raja Ahmad Mohzanuddin turut menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu.
Menerusi saman itu, plaintif memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan defendan membayar pencen kurang daripada jumlah yang sepatutnya mereka terima adalah salah dan bertentangan dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut plaintif, defendan sepatutnya melaraskan pencen mereka berdasarkan kaedah pengiraan yang dikemukakan.
Bagi tujuan itu, kesemua defendan perlu menyediakan semua penyata pencen atau jumlah sebenar serta jumlah yang diterima oleh kesemua plaintif dari tarikh persaraan sehinggalah tarikh saman difailkan.
Plaintif mendakwa defendan bertanggungjawab membayar baki pencen yang dikatakan tertunggak iaitu sebanyak RM85,459.11 untuk Rafique Ali sahaja.
Ketika ditemui selepas prosiding itu, peguam Datuk Dr Shukor Ahmad dan Datuk Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Rafique Ali, memaklumkan bahawa mereka akan merayu terhadap keputusan tersebut.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Mohammad Sallehuddin Md Ali hadir bagi pihak defendan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami