MALAYSIA
MAHSA University tubuh QVC, iktiraf kursus micro-credential

QVC berperanan sebagai pusat pengesahan untuk kursus micro-credential ditawarkan institusi pendidikan di seluruh negara, memastikan kualiti dan kredibiliti setiap program. - Gambar Astro AWANI/ Firdaus Mohari
JENJAROM: MAHSA menjadi universiti swasta pertama dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menubuhkan Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), bagi memastikan semua program ditawarkan menepati piawaian serta diiktiraf.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata Malaysia kini menduduki tempat ketiga dunia dalam pelaksanaan kursus micro-credential, mencerminkan kepercayaan pelajar antarabangsa terhadap sistem pendidikan negara.
“Micro-credential bukan sekadar sijil, ia adalah kaedah baharu yang bakal mentransformasikan pendidikan tinggi rakyat Malaysia.
“Ini supaya pendidikan boleh diteruskan mengikut kesesuaian masa dan keperluan mereka, termasuk pekerja daripada sektor swasta.“MAHSA diberikan kepercayaan untuk menubuhkan QVC kerana memenuhi kriteria ketat yang ditetapkan MQA,” ujar Mustapha ketika ditemui media selepas menghadiri majlis perasmian oleh MAHSA di sini, pada Jumaat.
Untuk rekod, program micro-credential merujuk kepada sijil pembelajaran berskala kecil serta fleksibel, memfokuskan kemahiran tertentu yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
Kursus pendek ini boleh diambil tanpa perlu mengikuti program akademik penuh seperti diploma atau ijazah, menjadi jalan pintas untuk pembelajaran sepanjang hayat yang menjimatkan masa.
Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Tan Sri Profesor Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah berkata penubuhan QVC ini merupakan satu pencapaian strategik.
“Pelancaran QVC adalah manifestasi visi kami untuk menjadikan MAHSA peneraju pendidikan fleksibel bertaraf global.
“Ia menyokong pembelajaran sepanjang hayat, serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” ujar beliau.
Tambahnya, QVC berperanan sebagai pusat pengesahan untuk kursus micro-credential ditawarkan institusi pendidikan di seluruh negara, memastikan kualiti dan kredibiliti setiap program.
“Pelajar boleh ambil satu hingga lima kredit terlebih dahulu, pergi bekerja, dan kembali menyambung kursus bila berkelapangan.
“Kredit yang diperoleh juga boleh disimpan dan dipindahkan ke institusi pendidikan lain untuk melengkapkan program diploma atau ijazah.
“Ini memberi fleksibiliti yang besar dalam pendidikan tinggi,” jelasnya.
Katanya, inisiatif itu mampu meningkatkan mobiliti bakat, serta menyokong visi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 dalam pembangunan kepakaran dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami