KUALA LUMPUR : Usaha untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024/2025 terus dipergiat di pelbagai peringkat dalam mahupun di luar negara merentas pelbagai agensi

Ia dirancakkan dengan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri Perlis dengan Tourism Malaysia iaitu agensi dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya disertai agensi-agensi swasta dalam industri berkenaan. 

Dalam menyemarakkan lagi kedatangan pelancong yang disasarkan pada jumlah 3.5 juta pengunjung, negeri itu baru-baru ini memperkenalkan 41 pakej kecil bersama Tourism Malaysia yang menekankan elemen eko pelancongan, gastronomi serta pengembaraan lasak di Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin 2024 yang berlangsung minggu lalu.

"Penampilan Malaysia dalam ITB Berlin 2024 merupakan testamen terhadap komitmen berterusan negara untuk tembus ke pasaran Jerman dan Eropah.

"...empat pakej kecil baharu diperkenalkan menerusi ITB 2024 iaitu Pulau Pinang dan Kedah 'Archaeotourism & Geotourism Packages, Perlis Eco Tourism Packages, Dive Into the Unimaginable Packages & Sarawak Delta Geopark & Gawai Packages," menurut Tourism Malaysia dalam kenyataannya baru-baru ini.

Tidak terhenti di situ jawatankuasa khas bersama tiga wilayah di selatan Thailand turut ditubuhkan seperti yang dikongsi oleh Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli. 

Ia membabitkan wilayah-wilayah yang bersempadanan dengan Perlis seperti wilayah Yala, Songkhla dan Satun yang turut berkongsi jaringan budaya dengan negeri berkenaan.

Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa itu dapat memudahkan lagi hubungan antara Perlis bersama tiga wilayah terbabit selain menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis kali ini.

Malah, inisiatif ini secara jelas dapat membantu pemain industri tempatan bertukar ilmu, salah satu satunya dalam bidang perniagaan antara kedua negara.

Dalam pada itu, usaha untuk menjenamakan negeri berkenaan dengan penekanan identiti eko pelancongan turut diperkasa dengan pengenalan kemudahan motosikal elektrik pertama di negeri itu dikenali sebagai 'EBixon'.

BACA: Perlis tekankan kelestarian melalui pengenalan ebixon

Ia hasil kerjasama yang dilaksanakan dengan agensi swasta Smart Leisure & Travels Sdn Bhd, anak syarikat MYUS Group yang menjanjikan pengalaman menarik buat pengguna dalam menikmati pesona alam di negeri Perlis.

Antara lain, Pesta Angin Timur (PAT) yang berlangsung di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang pada 01 Mac 2024 hingga 03 Mac 2024 turut dijadikan agenda pelancongan penting negeri berkenaan yang telah menarik kunjungan orang ramai untuk memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024/2025.