KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), akan menempatkan 'Pegawai Penjarakan Fizikal' sebagai duta di pejabat dan masjid, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pandemik COVID-19.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, selain penugasan 'duta' secara bergilir-gilir di pejabat MAIK, mereka juga akan melantik Pegawai Penjarakan Fizikal itu di masjid-masjid.

"Pada peringkat permulaan, Pegawai Penjarakan Fizikal ditempatkan di 17 masjid bandar di seluruh negeri, sebelum dikembangkan di masjid mukim dan mereka ini berperanan mendidik masyarakat mematuhi SOP, sebagaimana ketetapan yang dikeluarkan MAIK," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Amanat Yang Dipertua MAIK Bersama Imam-Imam Seluruh Negeri Kelantan 2021, di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini yang turut dihadiri Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Tengku Mohamad Rizam berkata, kebanyakan penularan COVID-19 di negeri Kelantan bermula daripada kluster di pejabat, dan tersebar dalam kalangan komuniti jika dibandingkan dengan negeri lain dan pelantikan ini akan dapat membudayakan pegawai-pegawai di MAIK budaya penjarakan fizikal di pejabat.

Dalam perkembangan lain pula, Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK juga mengambil inisiatif menyediakan skim perlindungan diri, dengan menyediakan caruman kepada 1,208 kakitangan di 604 masjid seluruh negeri, terdiri daripada Imam Tua dan Imam Muda.

"Inisiatif ini diambil adalah bagi memastikan semua kakitangan masjid dapat melaksanakan tugasan dengan baik, dan yang lebih penting mempunyai perlindungan takaful sepanjang masa," katanya

-- BERNAMA