ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merekodkan lebihan zakat harta dan fitrah berjumlah RM61.52 juta tahun lepas, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, lebihan zakat itu akan disalurkan pada kadar segera bagi tujuan pembangunan ummah antaranya pembangunan projek Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjumlah RM5.5 juta, Tabung Pembangunan Masjid (RM3 juta) dan Pembangunan Sekolah Tahfiz Sains Antarabangsa (RM5 juta).

"Berkat bantuan zakat orang ramai, ada lebihan akan disalurkan dalam kadar segera.

"Justeru, 5,000 asnaf dengan bantuan RM1,000 akan turut diberikan, selain sumbangan kepada 875 nelayan dengan bantuan RM300 dan banyak lagi," katanya berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri ke-12 di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, elaun bulanan Guru Al-Quran Khas juga telah dinaikkan kepada RM550 dan Guru Al-Quran Am RM350 seperti yang telah diumum sebelum ini.

"Bantuan yang diberikan menunjukkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, dibantu MAINJ dan JAINJ sentiasa memastikan orang Islam terus terbela.

"(Justeru) di Johor, kita akan teruskan agenda menaikkan lagi syiar agama kita melalui peruntukan-peruntukan dan bantuan," katanya.

Sementara itu, MAINJ dalam kenyataan berasingan memaklumkan, pungutan zakat harta dan fitrah pada tahun lepas adalah sebanyak RM367.656 juta dengan agihan zakat sebanyak RM306.131 juta dan lebihan RM61.52 juta.

Menurut MAINJ secara keseluruhan pencapaian pungutan zakat meningkat sebanyak 9.9 peratus daripada RM333.4 juta yang direkodkan pada 2021.

"Jumlah pembayar zakat harta juga meningkat sebanyak 6.5 peratus daripada 128,437 pembayar pada 2021 kepada 136,789 pembayar pada 2022.

"Jenis zakat yang menjadi tunjang utama ialah zakat pendapatan dan perniagaan iaitu zakat pendapatan sebanyak 10.8 peratus daripada RM155.7 juta (2021) kepada RM172.6 juta (2022) manakala zakat perniagaan pula meningkat 16.7 peratus daripada RM78.3 juta pada 2021 kepada RM91 juta tahun lepas," menurut kenyataan itu. - BERNAMA