IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM8,170,475.68 daripada lapan syarikat korporat di Istana Kinta, di sini, pada Khamis.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menerima zakat tersebut dalam satu kenyataan berkata, penyerahannya kepada Sultan Nazrin didahului oleh Lembaga Air Perak (LAP).

Katanya, LAP diwakili oleh Pengurus Besar, Datuk Ishak Abd Rahman dengan jumlah zakat perniagaan RM4,850,000.

"Ia diikuti Ipoh Specialist Hospital Sdn. Bhd. (KPJ Ipoh) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Ipoh Specialist Hospital Sdn. Bhd. (KPJ Ipoh), Badrul Hisyam Ibrahim dengan jumlah RM1,096,282.73.

"Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Salleh Hudin Kamarudin dengan jumlah RM585,174.68.

"Selain itu, Menteri Besar Incorporated Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin dengan jumlah RM430,000," katanya pada Khamis.

Ujar kenyataan itu lagi, YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. turut menyerahkan zakat perniagaan dengan jumlah RM406,754.87 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YP Nominees Sdn Bhd, Rozita Ramli.

Diikuti penyerahan zakat perniagaan oleh Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasinya, Nor Sharifuddin Yeop dengan zakat perniagaan berjumlah
RM380,513.78.

Selain itu, Empayar Indera Sdn. Bhd dengan jumlah RM300,000 diserahkan oleh Timbalan Pengurus Besar, Rusli Md Isa.

Diakhiri oleh Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Datuk Mohammed Akhiar Ahmad Wazir Affandi dengan jumlah RM121,749.62.