KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM3.06 juta bagi Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang diagihkan menerusi kariah masjid seluruh negeri itu sepanjang tahun ini.

MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu merupakan sebahagian inisiatif MAIPs dalam mempertingkatkan keselesaan hidup golongan sasar melibatkan kerja baik pulih kecil kediaman yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kariah Masjid selari dengan Pelan Strategik MAIPs 2021-2025.

"Simbolik penyampaian peruntukan bagi bantuan itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Iftar Jamaie MAIPs bagi meraikan Ahli-Ahli Jawatankuasa MAIPs di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas," menurut kenyataan itu.

Turut berangkat pada majlis iftar itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda berdua Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Menurut kenyataan itu pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan mengurniakan sendiri Tauliah Pelantikan Ahli Jawatankuasa MAIPs bagi sesi 2024/2025 iaitu bermula 1 Jan 2024 hingga 1 Dis 2025.

-- BERNAMA