KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengemas kini dan menaikkan kadar had kifayah untuk diguna pakai pada tahun ini.

Langkah proaktif menaikkan kadar had kifayah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diputuskan MAIWP dalam Mesyuarat Bilangan dua Tahun 2022 pada 25 Mei lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata peningkatan kadar tersebut bertujuan meringankan beban kewangan ditanggung oleh masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan terutama golongan asnaf yang terkesan akibat peningkatan harga barangan keperluan.

"Ia juga bertujuan untuk memastikan keselarasan serta keseragaman dalam memenuhi keperluan sebenar golongan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pelaksanaan kenaikan kadar itu juga diakibatkan kadar inflasi yang semakin tinggi akibat peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan secara mendadak sejak ekonomi dibuka semula.

"Memetik laporan Jabatan Perangkaan pada Mei 2022, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.3 peratus daripada 123.6 pada April 2021 kepada 126.4 pada April 2022 dengan kenaikan inflasi makanan adalah penyumbang terbesar," menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, MAIWP telah menyediakan peruntukan dana zakat yang besar untuk diagihkan sehingga hujung tahun ini dengan mengambil kira kemungkinan akan berlaku akibat kenaikan kadar inflasi negara.

Sehingga kini, MAIWP telah membantu lebih 30,200 Ketua Keluarga di ketiga-tiga wilayah itu menerusi pelbagai skim bantuan daripada 30 Skim Bantuan Zakat yang ditawarkan.

Sementara itu, MAIWP turut menyambut baik keprihatinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutarakan keperluan Majlis Agama Islam negeri-negeri menambah baik kadar had kifayah selari dengan situasi semasa.

"Sehingga Mei lepas, MAIWP telah mengagihkan RM297.14 juta dana zakat kepada asnaf dan B40 yang memerlukan," menurutnya kenyataan itu.

-- BERNAMA