KUALA LUMPUR: Sejumlah 21,556 keluarga fakir dan miskin di Kuala Lumpur menerima bantuan kewangan bulanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ketika ini, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP Mohd Nizam Yahya.

Beliau berkata MAIWP memperuntukkan RM131.39 juta zakat setahun bagi Bantuan Kewangan Bulanan kepada fakir dan miskin termasuk asnaf muallaf dan ar-riqab di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dengan penerima mendapat bantuan bulanan antara RM300 dan RM1,000.

"MAIWP menggunakan pengiraan Had al-Kifayah dalam menentukan kategori asnaf fakir dan miskin. Penentuan asnaf fakir dan miskin tidak tertakluk kepada jumlah pendapatan semata-mata, malah ia mengambil kira keperluan bulanan keluarga berdasarkan kadar yang ditetapkan dalam jadual Hal al-Kifayah.

"Kadar Had al-Kifayah ini sentiasa disemak setiap dua hingga tiga tahun bagi memastikan ia kekal relevan dengan peningkatan kos sara hidup selain memastikan agihan benar-benar telus dan menepati keperluan asnaf fakir dan miskin," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung 10,200 keluarga miskin di Kuala Lumpur yang disenaraikan dalam data e-Kasih.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata verifikasi data e-Kasih terkini menunjukkan jumlah penduduk miskin dan miskin tegar di Kuala Lumpur meningkat kepada 10,200 keluarga.

Mohd Nizam yang juga menanggung tugas jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP berkata MAIWP sentiasa bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri termasuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penyelarasan bantuan agar golongan ini dapat disantuni daripada pelbagai aspek.

"Secara keseluruhannya, terdapat 30 skim bantuan yang disediakan MAIWP dan selain menerima Skim Bantuan Kewangan Bulanan, keluarga fakir dan miskin ini turut menerima bantuan lain seperti pendidikan untuk anak-anak, bayaran sewa rumah, perubatan dan lain-lain," katanya.

.-- BERNAMA