KUALA LUMPUR:Majikan masih boleh memohon Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 di bawah Pakej Kita Prihatin yang dibuka sehingga 31 Disember 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Belanjawan 2021 memperuntukkan RM1.5 bilion untuk melanjutkan PSU selama 3 bulan lagi  bagi membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja terutamanya sektor pelancongan dan peruncitan.

"Sehingga 30 Oktober 2020, sebanyak RM12.16 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 322,284 majikan serta lebih 2.639 juta pekerja.

"Fasa seterusnya adalah PSU 2.0 yang telah bermula sejak 1 Oktober 2020. Sebagai peringatan, majikan masih boleh memohon untuk PSU 2.0 di bawah Pakej Kita Prihatin yang dibuka sehingga 31 Disember 2020.

"Justeru, beliau mengingatkan majikan bahawa selain membantu pekerja, Program Subsidi Upah ini juga mengutamakan kemampuan usahawan untuk mengekalkan kapasiti perniagaan.

"Kepada majikan yang terkesan, sahutlah bantuan Kerajaan supaya anda boleh mengekalkan kapasiti operasi dan memastikan syarikat anda kekal berdaya saing, lebih-lebih lagi tatkala persekitaran perniagaan bertambah baik nanti," ujarnya lagi.


Bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, secara keseluruhannya, sehingga 30 Oktober 2020, seramai 70,113 pekerja (peningkatan daripada 64,494 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

Jumlah ini merangkumi 56,315 orang di bawah umur 40 tahun, 8,743 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun, serta 331 orang kelainan upaya (OKU) dan 4,724 perantis. 

"Pengambilan pekerjaan 5 sektor tertinggi bagi kesemua kategori adalah dalam sektor pembuatan iaitu 24%, perkhidmatan 20%, perdagangan borong dan runcit 15%, penginapan dan perkhidmatan makanan 11% dan pembinaan 5%.

Menurut data daripada Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara iaitu MyFutureJobs, trend pengambilan pekerjaan sejak tiga bulan terdahulu iaitu bulan Ogos, September dan Oktober didominasi oleh sektor profesional, sektor teknikal dan sektor perkhidmatan. 

Bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran. Sehingga 30 Oktober 2020, seramai 106,047 individu telah diluluskan (peningkatan daripada 105,312 minggu lalu) untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan.

Antara kursus-kursus yang mendapat permintaan yang tinggi adalah seperti program IR4.0, latihan keusahawanan, pendigitalan perdagangan, serta program Boot Camp kemahiran mencari pekerjaan.

Senarai penuh boleh didapati di laman web Kementerian Kewangan.