Malaysia perkukuh kedaulatan teknologi unsur nadir bumi - Chang

Chang berkata moratorium kerajaan terhadap eksport bahan mentah mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Permulaan awal Malaysia dalam teknologi pemprosesan unsur nadir bumi adalah bagi memastikan kedaulatan mineral negara terus terpelihara, meskipun dalam keadaan wujudnya perjanjian perdagangan dengan kuasa besar, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata kelebihan Malaysia dalam sektor tersebut disebabkan oleh kumpulan bakat tempatan dan sumber asli yang melimpah, termasuk simpanan tanah liat penjerapan ion yang kaya.
"Saya rasa semua orang sedar bahawa industri dan ekosistem ini sangat penting, terutama dalam situasi geopolitik semasa. Sebab itulah kami menganjurkan program itu bagi membolehkan semua pihak berkepentingan berhubung dan berbincang tentang ekosistem serta teknologi di sebaliknya.
"Sudah tentu kita mempunyai kelebihan dari segi kepakaran tempatan dan juga simpanan tanah liat penjerapan besi yang banyak di Malaysia," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Eksplorasi, Torium dan Unsur Nadir Bumi (XThree) 2025 di sini, hari ini.
Chang berkata moratorium kerajaan terhadap eksport bahan mentah mencerminkan komitmen Malaysia untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran, dan bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti perlombongan bahan mentah semata-mata.
"Jadi saya fikir ini satu permulaan yang baik, terutamanya kerana kita tidak boleh membiarkan satu negara sahaja menguasai semua sumber di dunia. Keadaan itu akan mewujudkan kerentanan dalam rantaian bekalan global. Inilah yang sedang kami usahakan di Malaysia," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa China kini menguasai kira-kira 70 peratus kapasiti pemprosesan unsur nadir bumi dunia dan Malaysia sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan termasuk dari China dan negara lain untuk memperkukuh keupayaan pemprosesannya sendiri.
"Jadi kami melihat ia sebagai satu strategi untuk membangunkan kapasiti pemprosesan negara," katanya.
Mengenai kedaulatan teknologi, Chang berkata ia merujuk kepada keupayaan Malaysia untuk membina keupayaan teknologinya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada mana-mana negara tertentu.
"Jadi di Malaysia, apabila kita berbincang tentang kerjasama dengan rakan asing, kita juga menekankan pembangunan kapasiti teknologi kita. Sebab itulah penting bagi setiap kerjasama melibatkan pemindahan teknologi serta pembangunan bakat tempatan," katanya.
Chang berkata memorandum persefahaman (MoU) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai unsur nadir bumi, menggalakkan ketelusan dan keterbukaan, tanpa mengenakan sebarang sekatan terhadap mana-mana syarikat atau negara.
Beliau menjelaskan bahawa klausa dalam perjanjian itu bertujuan untuk menggalakkan akses dan kerjasama yang adil dan bukannya menetapkan sekatan terhadap negara atau syarikat tertentu.
"Jadi dengan klausa itu dalam perjanjian, saya tidak nampak sebarang sekatan terhadap Lynas atau mana-mana syarikat lain, kerana klausa tersebut sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan keterbukaan," katanya.
Apabila ditanya sama ada MoU itu menjejaskan kedaulatan Malaysia, Chang berkata perjanjian tersebut tidak menjejaskan kedudukan negara, kerana pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan pengeluaran tempatan.
"Sudah tentu, ia bergantung kepada kapasiti. Mereka mungkin mahu lebih banyak, tetapi jika kita tidak mampu menghasilkan lebih, maka kita tidak dapat memenuhi permintaan itu," katanya.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad lepas, Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian komprehensif bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, meluaskan akses pasaran, serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran yang lebih besar kepada barangan industri dari AS, dan turut bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang larangan atau kuota eksport terhadap mineral penting dan unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


