NATIONAL
Majikan sektor perhotelan, pelancongan digalak ambil banduan parol bekerja

Mohd Nasir berkata, sebanyak 720 banduan menyertai program CSI di Terengganu dan daripada jumlah itu kira-kira 500 orang telah diambil bekerja. - Bernama
JERTIH: Majikan dalam sektor pelancongan dan perhotelan di pulau peranginan di negeri ini digalakkan mengambil banduan yang menjalani sistem parol untuk bekerja di premis mereka.
Pengarah Penjara Negeri Terengganu Mohd Nasir Yusof berkata majikan dalam sektor berkenaan boleh merebut peluang mengambil banduan daripada kalangan Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah program Latihan Pintar Korporat Bagi Parol (CSI Parol) bekerja dalam pelbagai bidang.
"Sebanyak 720 banduan menyertai program CSI di negeri ini dan daripada jumlah itu kira-kira 500 orang telah diambil bekerja di pelbagai sektor.
"Setakat ini, 32 orang bekerja dengan tiga majikan di Pulau Rendang dan lima orang dengan satu majikan di Pulau Perhentian," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Hebahan Komuniti, Orang Bebas Berlesen dan Majikan di Pulau Perhentian di sini hari ini.Mohd Nasir berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya lima majikan dalam sektor tersebut mengambil banduan Parol pada tahun ini.
Beliau berkata menerusi program itu pelbagai kelebihan dapat dinikmati oleh majikan dan banduan terlibat.
"Banduan ini terdiri daripada yang bakal dibebaskan dan mereka telah melalui tapisan ketat selain dipantau secara berterusan selama tempoh bekerja dengan majikan.
"Maklum balas yang kami peroleh daripada majikan di sektor pelancongan tentang banduan yang bekerja amat positif seperti layanan baik mereka kepada pelanggan, sifar salah laku jenayah malah ada banduan yang dibebas sepenuhnya daripada penjara terus ditawarkan kerja dengan majikan sama.
"Program ini juga mahu mendidik masyarakat terutama majikan agar dapat memberi peluang kedua kepada golongan ini untuk membina semula kehidupan, keyakinan diri serta menyumbang secara positif kepada masyarakat," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami