MALAYSIA
Majikan wajib patuhi pengisytiharan 15 Sept sebagai hari kelepasan am tambahan - KESUMA

Sim berkata KESUMA menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang mengisytiharkan 15 Sept 2025 (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Majikan wajib mematuhi pengisytiharan 15 Sept ini sebagai cuti kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Ringkasan AI
- Majikan diwajibkan mematuhi pengisytiharan cuti umum tambahan ini, sama ada memberi cuti bergaji, menggantikan cuti lain, atau membayar kadar gaji hari kelepasan jika pekerja perlu hadir bekerja.
- Pelaksanaan cuti tertakluk kepada peruntukan Akta Kerja dan Ordinan Buruh di seluruh negara, dengan Jabatan Tenaga Kerja bersedia memberi panduan kepada majikan dan pekerja.
- Cuti panjang sempena Hari Malaysia disambut baik kerana dapat menyemarakkan semangat kebangsaan, meningkatkan kesejahteraan pekerja serta merancakkan ekonomi tempatan.
"Bagi memastikan pelaksanaan hari kelepasan am tambahan yang adil dan teratur, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersedia memberi khidmat nasihat serta menjawab sebarang pertanyaan daripada majikan dan pekerja berhubung pelaksanaan hari kelepasan am tambahan ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan 15 Sept 2025 (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.
"Pengisytiharan ini merupakan khabar gembira buat pekerja sektor awam mahupun swasta di seluruh negara.
"Cuti tambahan ini memberikan ruang buat seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perpaduan, memperkukuh semangat kebangsaan serta menghargai keistimewaan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya," katanya.
Sim berkata cuti panjang boleh dimanfaatkan untuk beriadah yang dapat menambah mutu kesejahteraan hidup pekerja Malaysia selain aktiviti ekonomi juga dapat dirancakkan ketika cuti panjang sekali gus membawa kesan positif kepada ekonomi setempat.
Pelaksanaan cuti tambahan itu, katanya tertakluk kepada peruntukan undang-undang pekerjaan sedia ada iaitu Seksyen 60D (1) Akta Kerja 1955 [Akta 265] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67), Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) serta Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] sebagai asas pengisytiharan rasmi cuti tambahan oleh kerajaan.
Majikan atau pekerja yang memerlukan panduan lanjut boleh menghubungi talian hotline Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia melalui talian 03-8886 5192/5937 atau e-mel ke [email protected] atau hadir ke Pejabat JTK berhampiran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami