Pemuda mencadangkan Majlis Amanah Tanah Melayu yang melibatkan semua negeri diwujudkan bagi melindungi tanah rizab Melayu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tugas majlis amanah ini pula tidak tertakluk kepada hanya melindungi tanah rizab Melayu namun harus turut memastikan pembangunannya.

"Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan dicabuli oleh mereka yang tak bertanggungjawab.

"Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri?" katanya semasa Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelas Khairy, Pemuda harus mencari penyelesaian segera bagi memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tidak tergadai.

"Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah: bila pihak berkuasa tak menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal," jelasnya.

Dalam pada itu jelasnya, Pemuda turut mempertikaikan sikap segelintir orang bukan Melayu yang tidak menghormati kedudukan istimewa orang Melayu.

"Kita bersetuju memberi hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka; sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah kita beri.

"Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama? Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular, kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka?" jelasnya.

Khairy turut memberi penegasan terhadap kepentingan Akta Hasutan 1948 sebagai perisai untuk masyarakat negara ini berlindung.

"Sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut.

"Terma-terma ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa.

"Walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur," ujarnya.