MALAYSIA
Majlis Peguam desak kerajaan segera tangani isu babit badan kehakiman

Majlis Peguam menegaskan akan membentangkan beberapa usul untuk tindakan lanjut dalam EGM pada 26 Julai ini, sekiranya tuntutan mereka berhubung isu kebebasan kehakiman tidak diberi perhatian oleh kerajaan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Majlis Peguam mendesak kerajaan mengambil serius semua tuntutan mereka dan segera menangani isu-isu yang dibangkitkan membabitkan isu kebebasan badan kehakiman.
Ringkasan AI
- Majlis Peguam mendesak kerajaan segera menangani isu kebebasan kehakiman dan memberi perhatian terhadap tuntutan yang disampaikan melalui memorandum, termasuk pelantikan jawatan kehakiman dan ketelusan institusi.
- Presiden Majlis Peguam menyatakan jika tiada tindakan diambil, beberapa usul akan dibentangkan dalam EGM pada 26 Julai sebagai langkah susulan, namun tiada garis masa ditetapkan kepada kerajaan.
- Perarakan yang disertai lebih 1,000 peserta bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap integriti kehakiman, dengan penegasan bahawa kebebasan institusi kehakiman perlu dilindungi daripada pengaruh politik atau eksekutif.
"Kami tidak merujuk kepada satu-satu kes tertentu, tetapi telah timbul beberapa kenyataan media dan perbincangan di media sosial yang dilihat boleh menjejaskan kebebasan institusi kehakiman. Kami mahu perkara ini diselesaikan dan menyeru kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
“Jika tiada tindakan selepas ini, barulah langkah susulan lain akan dipertimbangkan. Memorandum ini telah disampaikan kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya semasa sidang media Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman dari Istana Kehakiman.
Ezri turut menegaskan bahawa tiada sebarang garis masa ditetapkan kepada kerajaan untuk bertindak.
Sementara itu, beliau enggan mengulas mengenai siasatan polis terhadap pihak yang didakwa mendedahkan minit mesyuarat Jawatankuasa Etika Kehakiman (JEC).
Pada hari ini, Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya itu disertai lebih 1,000 peserta terdiri daripada peguam dan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Perarakan tersebut bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu utama termasuk kekosongan jawatan kehakiman yang berlarutan, keperluan untuk memastikan kesinambungan institusi kehakiman, serta menuntut proses pelantikan kehakiman yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Antara figura terkenal dalam bidang perundangan dan awam yang kelihatan menyertai perhimpunan ini termasuk bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim; peguam kanan, Haniff Khatri Abdullah; aktivis Siti Kassim; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan; serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir memberi sokongan ialah anak kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami