Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Majlis Peguam, Suhakam turun ke institusi pendidikan MARA beri motivasi, bimbingan - Asyraf Wajdi

Bernama 15/10/2025 | 15:07 MYT
Asyraf Wajdi menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki. - Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan Majlis Peguam Malaysia dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memberi motivasi, bimbingan serta kesedaran mengenai isu berkaitan buli, jenayah juvana dan dadah di semua institusi pendidikan MARA (IPMA).

Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kedua-dua badan berkenaan bersetuju menggerakkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada peguam ke IPMA di seluruh negara bagi memastikan intervensi pencegahan dan pendidikan dapat dilakukan segera, selain penguatkuasaan undang-undang dan peraturan seperti prinsip #YouTouchYouGo.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki.

"Kami berbincang mengenai peri pentingnya memberikan kesedaran dan pengetahuan perundangan, bimbingan kaunseling dan intervensi psikologi dalam aspek buli dan jenayah terkait kanak-kanak.

"Antara lain jika hubungan seksual suka sama suka dengan pasangan bawah umur, ia boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah rogol (statutory rape)," katanya menerusi hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan sejak 1954, namun pelaksanaannya tertakluk kepada prosedur ketat dan hanya boleh dijalankan oleh pengetua atau guru besar.

"Tujuan rotan untuk mendidik bukan untuk menyakitkan. Merotan juga mesti dilakukan secara tertutup bukan untuk tontonan awam. Merotan juga dianggap sebagai kaedah terakhir yang dilakukan sekadar memberikan pengajaran dan tidak sehingga memudaratkan," katanya.

-- BERNAMA


#institusi pendidikan #MARA #buli #salah laku #jenayah juvana #Suhakam #majlis peguan #Asyraf Wajdi Dusuki