Skip to main content

Malaysia

Majoriti pilih kekalkan harga RON95, sanggup kurangkan kuota - Tinjauan

81640659451_PetrolStation.jpg
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Majoriti responden tinjauan Astro AWANI memilih untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun perlu mengurangkan kuota subsidi kepada 100 liter sebulan, dalam suasana kebimbangan terhadap krisis bekalan global yang semakin mencabar.

Daripada keseluruhan respons merentasi pelbagai platform media sosial, sebanyak 55 peratus memilih Opsyen A, berbanding 45 peratus yang memilih Opsyen B, iaitu mengekalkan kuota subsidi 200 liter tetapi pada harga lebih tinggi RM2.45 seliter.

Advertisement

Tinjauan ini dijalankan menerusi kempen #SuaraAndaSuaraMalaysia, dengan soalan berkisar kepada pilihan rakyat sekiranya mekanisme subsidi BUDI95 perlu diubah.

Perbezaan ketara mengikut platform

Dapatan menunjukkan kecenderungan berbeza antara platform, dengan pengguna WhatsApp dan Twitter jelas memihak kepada Opsyen A:

* WhatsApp: 72% (A) | 28% (B)
* Twitter: 72% (A) | 28% (B)
* YouTube: 58% (A) | 42% (B)

Namun, pengguna Telegram dan Threads menunjukkan kecenderungan sebaliknya, lebih menyokong Opsyen B:

* Telegram: 46% (A) | 54% (B)
* Threads: 37% (A) | 63% (B)

Sementara itu, platform arus perdana seperti Instagram dan Facebook mencatatkan keputusan yang hampir seimbang:

* Instagram: 51% (A) | 49% (B)
* Facebook: 51% (A) | 49% (B)

Isyarat jelas: Harga kekal keutamaan

Secara keseluruhan, dapatan ini mencerminkan keutamaan rakyat terhadap harga bahan api yang kekal rendah, meskipun perlu berdepan had penggunaan.

Dalam masa sama, hampir separuh responden yang memilih Opsyen B memberi isyarat bahawa terdapat segmen masyarakat yang bersedia menerima kenaikan harga secara sederhana, selagi ia memberikan fleksibiliti penggunaan yang lebih tinggi.

Ruang untuk reform subsidi

Perbezaan pandangan ini turut menunjukkan bahawa sebarang langkah merombak mekanisme subsidi bahan api, termasuk BUDI95, memerlukan pendekatan yang teliti serta komunikasi dasar yang jelas kepada rakyat.

Ia juga memberi gambaran bahawa reform subsidi bukan lagi sekadar isu harga, tetapi melibatkan keseimbangan antara kemampuan rakyat dan kecekapan pengagihan subsidi dalam jangka panjang.

Must Watch Video