KUALA LUMPUR: Keputusan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman untuk kembali memimpin negara selepas hampir dua tahun berehat demi meluangkan masa bersama keluarga, mencerminkan keperibadian beliau yang meletakkan kepentingan negara lebih daripada segalanya.

Daripada kaca mata anak sulung beliau, Tawfik Ismail, 71, bapanya merupakan wira sejati yang rela berkorban dan mengetepikan kesihatan diri demi menyelamatkan negara selepas peristiwa berdarah 13 Mei.

Tawfik berkata hasrat bapa untuk kembali ke kancah politik tidak diterima baik oleh ibunya, Toh Puan Norashikin Mohd Seth, kerana bimbang masih belum pulih sepenuhnya akibat serangan jantung yang dihadapi sebelum itu.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan berat hati ibu serta keluarga terpaksa melepaskan negarawan itu kembali ke medan perjuangan kerana sedar individu seperti Dr Ismail tidak mungkin berdiam diri tatkala negara sedang porak peranda.

"Ayah beritahu mak yang dia terpaksa 'balik' (kembali dalam politik) dan memberi bantuan kerana merasakan tiada pilihan selain semangat untuk membantu negara.



TUN DR ISMAIL-ANAK 2 KUALA LUMPUR



"Mak memang tidak senang sebab dia rasa ayah belum sembuh 100 peratus. Namun, mak saya faham tugas untuk negara itu lebih besar daripada kepentingan peribadi dan tahu dia perlu berkorban," katanya kepada Bernama dalam sesi temu bual, baru-baru ini.

Berkongsi cerita negarawan terulung negara itu, Tawfik berkata bapanya mengambil keputusan untuk bersara pada 1967 selepas menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga setelah mengalami serangan jantung di samping telah yakin negara berada dalam keadaan aman ketika itu.

"Beliau merasakan sudah tiada apa-apa kepentingan politik lagi untuk terus berada dalam kerajaan, maka beliau ambil keputusan untuk bersara," katanya.

Bagaimanapun, pada 1969, Dr Ismail telah menyuarakan hasrat beliau untuk kembali memimpin negara kepada isterinya, sebelum kembali menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Timbalan Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Atas pengorbanan itu, Tawfik berharap bapanya sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh yang berjaya merubah landskap politik dan sosial negara sehingga hari ini.



TUN DR ISMAIL-ANAK 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



"Dalam membentuk negara, kadang-kadang watak pemimpin itu penting. Kalau bapa saya tidak degil dan berkeras, mungkin banyak benda boleh terlepas dan tidak berjalan lancar sehingga hari ini," katanya merujuk kepada evolusi politik dan interaksi sosial negara yang kini lebih inklusif.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijadual akan mengadakan satu program bagi memperingati jasa Dr Ismail sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Program itu yang akan dilaksanakan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos ini, bertujuan mendidik generasi muda mengenai sumbangan negarawan itu dalam membangunkan Malaysia.

Dr Ismail telah bersara daripada dunia politik pada 21 Mei 1967 selama dua tahun, sebelum beliau dipanggil semula ke dalam kerajaan sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Timbalan Pengerusi MAGERAN pada 1969.

Anak watan Johor itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 22 Sept 1970, dan itu merupakan jawatan terakhir disandangnya sebelum meninggal dunia pada 2 Ogos 1973. Beliau meninggalkan Norashikin dan enam anak.

-- BERNAMA